KUCHING: Tiada lagi mangsa yang terperangkap di dalam bangunan pusat beli-belah CityOne yang meledak pada  jam 3.30 petang, Selasa.

Ledakan yang berpunca daripada kebocoran gas itu membabitkan 44 mangsa, termasuk tiga terkorban dan 41 lagi cedera.

Bagi saksi, kejadian berkenaan bagai ledakan bom dengan debu berterbangan, serta bunyi yang terlampau kuat, dengan kejadian berlaku terlalu cepat.

“Operasi pencarian mangsa dihentikan selepas pihak  kami berpuas hati tiada lagi mangsa terperangkap,” jelas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Khirudin Drahman.

Menurutnya, siasatan awal pasukan Forensik Bomba mendapati letupan berpunca daripada kebocoran gas.

Pekerja yang melakukan kerja ubah suai di sebuah restoran yang sepatutnya dibuka semalam turut terperangkap dalam kejadian itu.

“Sampel gas itu kita sudah ambil, dan ia akan dianalisis di makmal untuk mengesahan lanjut,” jelasnya, sambil menambah berdasarkan corak letupan daripada kamera lintar terutup (CCTV), didapati  ia memang selari.

Semalam pihak Bomba melakukan pengesanan lanjut dengan menggunakan anjing pengesan.

Ketika kejadian, sebahagian daripada mangsa tertimbus di bawah runtuhan akibat ledakan kuat.

Ledakan itu menyebabkan  keadaan panik dan pengunjung lari lintang-pukang  menyelamatkan diri.

CityOne merupakan pusat beli-belah terkemuka  dalam kalangan 700,000 warga bandar raya ini.

Ia yang dibuka pada 2012 mempunyai hampir 150 kedai, daripada restoran hingga kedai buku. –Sarawakvoice