SERIAN: Projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di pekan Serian tidak perlu dihentikan sementara waktu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata pemberhentian sementara projek terbabit, hanya dipohon daripada pihak berkuasa berkaitan sekiranya ada keperluan akibat kesesakan terlalu teruk di pekan itu menjelang Krismas nanti.

“Tidak perlu diberhentikan (menjelang Krismas) buat sementara waktu. Kita memantau tahap kesesakkan yang ada.

“Diharap semuanya baik sahaja, tetapi kalau ada keperluan kita akan mengesyorkan itu (pemberhentian sementara) kepada pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jerayawara Keusahawanan Bahagian Serian disertai 60 usahawan dari bahagian itu di Dewan Masyarakat Serian, pekan Serian, di sini, semalam.

TAHNIAH… John Ilus menyampaikan sijil kepada wakil pesrta semasa merasmikan Program Jerayawara Keusahawanan Bahagian Serian di Dewan Masyarakat Serian, semalam.

John Ilus berkata pihaknya menyedari kesesakan lalu lintas memang kerap berlaku di pekan Serian yang menjadi tumpuan penduduk membeli-belah menjelang musim perayaan, tetapi biasanya keadaan itu boleh dikawal dengan bantuan pihak polis trafik.

“Sehubungan itu kita meminta penduduk Serian bersabar dengan kesesakan lalu lintas dan kekurangan tempat letak kenderaan di pekan Serian akibat projek itu, memang kita sedari kawasan Serian ini selalu sesak lalu lintasnya,” katanya.

Beliau juga memohon penduduk Serian berusaha mengelak melalui jalan selalu sesak di pekan terbabit dan menggunakan jalan lain.

Beliau mengakui setakat ini ramai memberikan kerjasama itu.

Sementara itu, berkaitan perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo di pekan terbabit, John mendedahkan setakat ini projek berjalan lancar dan mengikut jadual penyiapannya.

“Kalau projek lambat pun ia sedikit sahaja disebabkan kerja mengalih talian elektrik dan komunikasi serta saluran paip bawah tanah yang membabitkan kerja rumit,” katanya dan projek terbabit setelah siap memberi banyak keselesaan kepada penduduk Serian. –Sarawakvoice