KUCHING: Kontraktor mesti memastikan pekerja dilatih dan disahkan berkelayakan untuk melakukan kerja bangunan seperti pembinaan dan ubahsuaian.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata demikian dalam kenyataan media mengulas kejadian letupan di pusat beli-belah CityOne Megamall Kuching, Jalan Song.

Menurutnya, beliau terkejut mendengar letupan petang kelmarin di CityOne Megamall dan sedih mendengar kematian tiga pekerja dan kecederaan kepada lebih 40 orang.

“Memandangkan siasatan masih dijalankan, saya tidak ingin memberi komen mengenai punca dan tanggungjawab kecuali untuk mengatakan bahawa dalam menjalankan kerja bangunan seperti pembinaan dan pengubahsuaian, kontraktor mesti memastikan para pekerja dilatih dan diperakui dengan betul,” katanya.

Sehubungan ini, Baru berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Akademi Binaan Malaysia (ABM) dapat menyumbang.

“ABM menawarkan banyak kursus mengenai kemahiran vokasional dan teknikal, dan saya menggalakkan belia dan pekerja untuk mendaftarkan diri dalam program ini untuk menaikkan kemahiran mereka.

“Kontraktor juga digalakkan menghantar pekerja mereka untuk dilatih dan diperakui. Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan tahap kemahiran pekerja dan mengangkat standard industri pembinaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memuji perkhidmatan penyelamat dan orang awam atas tindakan segera mereka membantu mangsa cedera dan terperangkap dalam runtuhan selepas letupan.

“Sungguh mengejutkan orang ramai mengetepikan keselamatan diri sendiri sebaliknya mereka membantu mangsa yang cedera sebelum pasukan penyelamat tiba,” katanya.

Baru turut menggesa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan dan organisasi berkaitan menjalankan siasatan cepat memastikan sama ada terdapat sebarang pelanggaran prosedur keselamatan dan seterusnya langkah pemulihan diambil serta-merta.

“Saya simpati terdalam kepada keluarga pekerja yang meninggal akibat insiden ini.

“Saya dimaklumkan sesetengah mangsa mengalami cedera parah dan saya berharap dan berdoa agar semua yang cedera akan pulih sepenuhnya,” kata Baru. –Sarawakvoice