Monday, December 5, 2022

Murid tahun satu hidap barah otak tahap empat di Saratok rayu bantuan

Secara Rawak

SARATOK: Seorang murid tahun satu Sekolah Kebangaan (SK) St. Peter Saratok kini bertarung nyawa melawan penyakit untuk hidup setelah disahkan oleh doktor menghidap barah otak tahap empat.

Angelina Mit Lim, 7 tahun , disahkan menghidapi penyakit berkenaan sejak tahun lalu.

Bapa Angelina, Lim Pok San bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kereta di Bintulu sementara ibunya hanya suri rumah sepenuh masa.

Menurut bapanya, ketika rakan-rakan lain menghabiskan masa di sekolah Angelina berjuang di hospital mendapatkan rawatan.

Niatnya dan semangatnya tinggi untuk turun ke sekolah dan menghabiskan masa terluang zaman kanak-kanak bermain dengan rakan-rakan. Namun ia terpaksa dipendamkan demi mendapatkan rawatan kesihatan.

Baru-baru ini Penaung Kelab Krian Bikers Robin Patrick tampil bersama ahli kelabnya mengunjunjungi rumah murid terlibat.

Robin berkata, sejak disahkan menghidap penyakit tersebut kebanyakan masa Angelina dihabiskan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Kini, anak kecil ini hanya terlantar di atas katil, namun ahli keluarganya tidak pernah menyerah kalah sebaliknya terus berjuang mendapatkan rawatan terbaik memastikan Angelina pulih semula,” katanya di sini semalam.

Bagi memenuhi tanggungjawab sosial dan sebagai tanda simpati Kelab Krian Bikers bertindak melancarkan tabung bantuan kepada keluarga Angelina iaitu ‘Tabung Demimu Angelina’ pada 24 November lalu.

Tabung itu ditubuhkan dengan tujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada keluarga Angelina bagi membantu meringankan beban ditanggung keluarga terbabit dalam menampung kos perubatan Angelina.

Pada masa sama, sumbangan membolehkan keluarga Angelina mendapatkan barang keperluan seperti susu tepung formula khas, lampin pakai buang dan lain-lain.

Menurut Robin, mereka yang ingin menyumbang dan mengisi tabung itu atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai situasi Angelina boleh menghubungi terus beliau (Robin) di talian 011-333022803.

Tambah Robin, mereka yang berhasrat untuk membantu boleh bertemu atau menyampaikan sendiri bantuan dan sumbangan kepada keluarga Angelina di Rumah Jenaidee Melina, Disso Saratok.

“Sumbangan dan sokongan semua pihak amat diperlukan untuk meringankan beban ditanggung keluarga ini yang kini berjuang memastikan Angelina mampu sembuh seperti sedia kala,” ujar Robin. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru