KUCHING: Bersyukur. Itu yang diluahkan Mohd Shahrizan, 22 tahun selepas berjaya meluru keluar beberapa saat sebelum berlakunya letupan di kawasan dapur Nene Chicken, CityOne Megamall di sini petang semalam.

Beliau yang pada asalnya bertugas di Nene Chicken di Genting Highlands, namun dipinjamkan sementara untuk pembukaan cawangan baharu di CityOne pada hari ini menyedari berlakunya kebocoran tersebut setelah tercium bau gas yang kuat.

“Gas itu bocor kira-kira empat meter dari saya.

“Kerana itu, biarpun sempat melarikan diri, ia tidak menghalang saya daripada merasai impaknya.

“Namun saya bersyukur kerana Allah SWT masih memanjangkan usia saya,” katanya yang mengalami 20 peratus anggota badan melecur dalam insiden tersebut.

Seramai tiga mangsa termasuk seorang yang dipercayai pengurus restoran, maut dalam letupan yang berlaku sekitar jam 3.30 petang tersebut.

Mangsa-mangsa ialah Chin Hsien Loong, 29 tahun warga Pulau Pinang; dan dua pekerja tempatan, O Kui Lim, 49 tahun serta Tehee Kiom Joong, 24 tahun.

Mereka antara enam mangsa yang berada di dalam kawasan ledakan, dengan tiga lagi yang turut ditimbuni struktur simen dan pasir berjaya diselamatkan segera oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

41 yang lain, termasuk seorang rakyat Indonesia mengalami kecederaan pelbagai peringkat termasuk sembilan parah. –Sarawakvoice

Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia