KUCHING: Durian, nanas, pisang dan kelapa — empat tanaman utama bagi tujuan eksport, menjadi fokus program penyelidikan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, objektif penyelidikan tersebut akhirnya merancakkan kegiatan eksport bertujuan meningkatkan produktiviti ladang dan pendapatan peladang kepada RM4,000 sebulan menjelang 2030.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail pada perasmian Mesyuarat Kemajuan Pegawai Penyelidik (ROPM) JPS 2018 di Kuching.

Beliau menyentuh peruntukan RM4 juta Kerajaan Sarawak melaksanakan Program Pemulihan Durian sebagai lanjutan projek perintis di Kuching, Serian, Betong dan Limbang.

Menurut Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, tambahan RM3 juta lagi diperuntukkan bagi Program Penanaman Baharu Durian melibatkan pekebun kecil seluruh Sarawak 2019.

Uggah melalui teks ucapannya menzahirkan rasa kesal kerana menurutnya terdapat sekitar 400,000 pokok durian matang di seluruh Sarawak, bagaimanapun ia tidak mendatangkan manfaat maksimum akibat pengurusan pertanian yang lemah sehingga pokok tidak mengeluarkan hasil lumayan.

Sementara, Uggah berkata RM2 juta diperuntukkan untuk melaksanakan Program Penanaman Baharu Nanas melalui tanaman nanas MD2.

Penyelidik juga diminta melihat aspek pemprosesan hiliran kepada jenis Nanas Sawit dan Nanas Bario bagi menembusi pasaran dunia.

Bagi tanaman pisang pula, Uggah berkata RM1 juta diluluskan 2019 bagi menjayakan Program Penanaman Baharu Pisang sebagai lanjutan program 2019 yang juga menerima peruntukan RM1 juta.

Bagi Program Pemulihan dan Penanaman Baharu Kelapa melibatkan pekebun kecil, ia dilaksanakan tahun ini melibatkan peruntukan RM1.3 juta.

Uggah berkata Sarawak menyasar memperluas ladang kelapa di negeri ini kepada 100,000 hektar menjelang 2039 berbanding 12,600 hektar sekarang. –Sarawakvoice