KUCHING: Operasi sukar dan mencabar, itu pengakuan Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berhubung kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa ledakan di restoran Nene Chicken, CityOne Megamall semalam.

Bagaimanapun jelasnya, anggota-anggotanya tetap gigih kerana mahu mengeluar dan menyelamatkan sebanyak mungkin mangsa.

“Bimbang tetap ada tetapi kita sentiasa berwaspada, terutama pada struktur bangunan yang kelihatan agak kurang kukuh pasca letupan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ling Hii mengakui, struktur pendawaian dan aluminium yang berselerak menyukarkan pergerakan SAR.

“Mangsa terperangkap dalam runtuhan bangunan dan untuk mengeluarkan mereka, kami perlu menyisih bahan-bahan runtuhan yang berselerak.

“Keadaan tersebut sangat menyukarkan.

Selain itu, katanya, pihaknya gagal mendapatkan pihak kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek ubah suai premis tersebut.

“Ini kerana kita perlukan maklumat tepat dan sahih mengenai jumlah pekerja yang terlibat.

“Akhirnya, kita membuat keputusan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 untuk mengesan sama ada terdapat mangsa yang masih terperangkap atau tidak,” tambahnya lagi.

Seramai tiga pekerja maut, manakala 41 yang lain cedera dalam insiden letupan yang berlaku sekitar jam 3.30 petang semalam.

Proses siasatan masih berlangsung sehingga petang ini, termasuk mencari baki mangsa yang terperangkap.

Siasatan awal mendapati letupan berpunca daripada kebocoran pada gas memasak di dapur restoran itu, yang dijadualkan dibuka pada hari ini. –Sarawakvoice