Sabtu lepas, menyaksikan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah melancarkan parti tersebut berkelana di Bumi Kenyalang bertuah ini. Secara tidak langsung ini mengesahkan penyertaan Bersatu dalam arena politik Sarawak. Pelancaran yang dilakukan oleh Pengerusinya yang juga Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Bintulu telah membuka lembaran baharu kepada politik Sarawak.

Ironinya, penyertaan Bersatu dalam politik Sarawak telah memecah tradisi di mana sebelum ini, parti UMNO tidak dibenarkan bertapak di Sarawak. Walhal, kebanyakan ahli serta pemimpin Bersatu merupakan bekas ahli dan pemimpin dalam parti UMNO. Apakah maksud ini?

Ini bermakna impian UMNO dahulu yang ingin melebarkan sayap ke Sarawak akhirnya berjaya dengan kemasukannya ke Sarawak yang majoriti daripada ahli parti tersebut merupakan bekas ahli parti UMNO.

Namun begitu, Bersatu tidak sama dengan UMNO kerana turut membuka keahlian kepada bumiputera bukan Islam di Sarawak termasuk kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan sebagainya.

Realitinya, bertapaknya Bersatu di Sarawak dapat menambah kekuatan Pakatan Harapan (PH) untuk menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 nanti.

 

Namun begitu, persoalan yang harus diketengahkan juga adalah, sejauh manakah parti seperti PKR dan DAP yang telah lama bertapak di Sarawak dapat menerima kehadiran Bersatu terutama dalam pembahagian kerusi semasa PRN nanti?

Dapatkah para penyokong atau segelintir individu berlapang dada menyerahkan kerusi kepada Bersatu semasa PRN nanti? Inilah persoalan yang perlu dirungkai untuk memastikan kehadiran Bersatu ke Sarawak dapat menambah kekuatan kepada parti PH.

Apa yang menarik, kehadiran Bersatu ke Sarawak telah menyebabkan kegusaran kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kehadiran Tun Mahathir sebagai Pengerusi menyatakan bahawa PH pasti dapat menumbangkan GPS pada PRN ke -12 nanti. Keyakinan tinggi pemimpin PH ini perlu diambil kira oleh GPS dalam menempuh PRN nanti. Jangan dipandang enteng dengan keyakinan PH untuk menawan negeri Sarawak pada PRN ke – 12 nanti.

Rentetan pengisytiharan kemasukan Bersatu ke Sarawak, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya bahawa Bersatu tidak akan diterima oleh rakyat Sarawak pada PRN ke -12 nanti.

Adakah kenyataan Zahid ini betul berdasarkan pengalaman parti UMNO yang tidak diterima masuk ke Sarawak?

Sejauh manakah perbezaan Bersatu dengan UMNO yang rata-rata bekas ahli UMNO yang menyertai parti itu?

Apa yang pasti, tujuan Bersatu bertapak di Sarawak dilihat sebagai saingan kepada beberapa kawasan majoriti Melayu atau Melanau yang dikuasai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Kehadiran Bersatu sudah pasti dapat memberikan saingan kepada PBB yang merupakan parti tulang belakang dalam GPS pada PRN ke-12 nanti. Adakah kaum Melayu atau Melanau sudah bersedia untuk menerima kehadiran Bersatu?

Sejauh manakah penerimaan kaum Dayak terhadap kehadiran Bersatu di Sarawak?

Ironinya, apa yang mengejutkan apabila ahli pemimpin dalam PH Sarawak terutama dari PKR dan DAP tidak menolak kehadiran Bersatu ke Sarawak walhal majoriti pemimpin dalam Bersatu atau PPBM itu merupakan bekas ahli parti UMNO?

Dahulu para pemimpin ini lah yang tidak pernah putus asa membawa isu berkaitan kemasukan UMNO ke Sarawak yang lantang-lantang ditolak oleh mereka dan kepimpinan negeri.

Ya, Tun Mahatir merupakan bekas ahli UMNO dan majoriti ahli bersatu merupakan bekas ahli UMNO. Apakah maksud ini?

Inilah kejayaan Tun Mahathir yang boleh dicetak dalam buku sejarah, apabila beliau yang merupakan bekas ahli UMNO dan menubuhkan Bersatu berjaya membawa masuk parti ke Sarawak tatkala pernah menjadi Presiden UMNO namun tidak dapat membawa UMNO masuk ke Sarawak. Ya jangan nafikan, parti PPBM itu merupakan parti serpihan UMNO dan telah berjaya melebarkan sayap ke bumi kenyalang.

Dahulu, UMNO tidak dibenarkan oleh pemimpin di Sarawak sama ada daripada parti kerajaan atau pembangkang tidak bersetuju dengan kemasukan UMNO ke Sarawak.

Kini bekas ahli UMNO yang menubuhkan Bersatu sudah berjaya melebarkan sayap ke Sarawak. Hebatkan.

Walau apa-apa pun, kemasukan Bersatu ke Sarawak telah menyemarakkan lagi demokrasi di Bumi Kenyalang. Pelbagai cabaran pasti menanti Bersatu untuk memastikan parti serpihan UMNO itu dapat diterima oleh pelbagai kaum di Sarawak.

Kini, GPS juga perlu meningkatkan usaha padu dalam menyantuni rakyat Sarawak sekiranya ingin kekal berkuasa.

Realitinya, cakap-cakap di kedai kopi mengatakan kehadiran Bersatu dapat menggugat kerajaan negeri sekarang pada PRN ke-12 yang dijangka bakal diadakan pada tahun 2021. Kini sah sudah Bersatu melengkapkan gabungan PH di Sarawak. –Sarawakvoice

Penulis merupakan penganalisis politik yang fokus kepada politik kaum Iban di luar bandar serta pensyarah dalam bidang politik di UNIMAS.