Tuesday, September 27, 2022

Aktiviti pengendalian kontena dan kargo di TMP meningkat

Secara Rawak

SIBU: Aktiviti pengendalian kontena dan kargo di Pelabuhan Bersepadu Tanjung Manis (TMP), antara pelabuhan laut dalam di Sarawak mencatatkan peningkatan yang mendadak sejak mula beroperasi pada 2009.

Pengerusi TMP Datuk Sarudu Hoklai berkata jumlah kontena yang dikendalikan oleh TMP melonjak kepada 60,307 TEU (unit bersamaan 20 kaki) pada 2017 daripada hanya 4,845 TEU pada tahun pertama operasi TMP manakala jumlah kargo yang dikendalikan mencatatkan peningkatan daripada 94,000 tan kepada 3.94 juta tan dalam tempoh sama.

Katanya pelaburan dalam sektor akuakultur dan pertanian di Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis dijangka menyaksikan kargo kontena meningkat sebanyak 20,000 TEU dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami juga memainkan peranan penting dengan melengkapi Lembaga Pelabuhan Rajang (RPA) dalam mengendalikan kargo dengan 262,456 TEU dalam tempoh sembilan tahun iaitu 29,162 TEU setahun,” katanya pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 TMP di sini malam tadi.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh mewakili Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Sarudu berkata TMP turut memberi tumpuan untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan dalam sistem pengurusan kualiti dan penyediaan kualiti standard perkhidmatan untuk pengguna pelabuhan.

“TMP menyediakan sistem pengurusan pelabuhan bersepadu secara dalam talian yang memenuhi standard antarabangsa untuk manfaat komuniti perkapalan yang membolehkan mereka menjalankan urus niaga selama 24 jam,” katanya.

Beliau juga berkata sejak 2012, TMP telah mengekalkan pematuhan ISPS Code dan SOP utama yang diiktiraf di bawah MS ISO 9001: 2008 sistem pengurusan kualiti dan OHSAS 18001:2007 sistem pengurusan pekerjaan, kesihatan dan keselamatan yang berjaya diperbaharui setiap tahun.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru