MIRI: Seorang penjawat awam dan pelajar menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan Macau Scam membabitkan jumlah kerugian RM90,400.

Penjawat awam wanita berumur 32 tahun itu kerugian RM90,000.

Manakala pelajar lelaki terbabit berumur 21 tahun rugi RM400 setelah kedua-dua mereka ditipu sindiket berkenaan kelmarin selepas berinteraksi melalui panggilan telefon.

Dalam kes melibatkan penjawat awam, mangsa menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali dan memaklumkan mangsa didakwa atas kes langgar lari pada 20 November lalu.

Kemudian, talian telefon disambung kepada Inspektor yang kemudian meminta nombor kad pengenalan mangsa kononnya untuk tujuan semakan.

Inspektor itu memaklumkan kononnya mangsa terlibat dalam wang haram di 23 akaun bank Sabah dan dikatakan waran tangkap dikeluarkan dan dihantar kepada mangsa melalui “Whatsapp” nombor 011-25113846.

Selepas itu, talian disambungkan kepada wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai inspektor “Puan Mariam” untuk mengurus kes mangsa.

“Puan Mariam” mengatakan, oleh kerana bank tidak dapat memantau akaun mangsa, mangsa diminta memindahkan wang RM90,000 ke akaun diberikan.

Ketua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, menurut penjawat awam itu, “Inspektor” berkenaan memintanya memberitahu pihak bank kononnya tujuan wang dipindahkan ke akaun diberikan itu adalah untuk membeli tanah.

“Pada masa sama, mangsa turut diingatkan tidak memaklumkan kepada sesiapa termasuk ahli keluarganya berkaitan perkara itu kerana dibimbangi mengganggu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Mustafa berkata, pelajar terbabit tertipu oleh sindiket berkenaan kononnya mangsa bekerjasama mengedar dadah dengan “Michel Ling” dan akaun bank miliknya digunakan untuk pengurusan jual beli dadah.

Katanya, sindiket itu meminta mangsa mengosongkan wang di dalam akaunnya dengan memindahkan wang ke akaun diberikan.

“Mangsa hanya menuruti arahan sindiket itu dengan memindahkan wang berjumlah RM400 ke akaun diberikan,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa terbabit sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. –Sarawakvoice