KUCHING: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang baru tamat belajar rugi RM110,000 apabila menjadi mangsa terkini Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa terlebih dahulu menerima panggilan dari nombor 062854222 dan bercakap dengan lelaki mendakwa Mykad mangsa digunakan untuk membuka Kad Hong Leong Bank serta mempunyai tunggakan.

“Mangsa percaya dengan kata-kata lelaki itu yang mendakwa dari Mahkamah Majistret Melaka kerana rumahnya pernah dipecah masuk dan mangsa kehilangan Mykad ketika waktu itu.

“Kemudian panggilan telefon disambungkan kepada Sarjan Lim yang memberitahu ada akaun Maybank juga wujud atas nama mangsa dan terlibat dengan penggubahan wang haram, namun dinafikan oleh mangsa,” katanya menerusi kenyataan diterima semalam.

Kata Gani, ‘Sarjan Lim” terus membuat ‘semakan’ ke atas akaun peribadi mangsa AmBank yang didapati adalah akaun bersama apabila mempunyai wang RM100,000.

Menurutnya, mangsa memberitahu wang terbabit biasiswanya yang memberi peluang kepada ‘Sarjan Lim’ memerangkap mangsa untuk memindahkan wang terbabit ke empat akaun berbeza atas nama Mohamat Saifullah bin Khairi (AmBank), Mohammad Shahril bin Sahalie (Hong Leong Bank), Shirley anak Gani (Hong Leong Bank) serta Juti anak Richard (Hong Leong Bank).

“Kita juga menerima laporan dari Kuching yang melibatkan surirumah berusia 36 tahun apabila rugi RM30,000 kerana terperangkap dalam jenayah sama.

“Mangsa menerima panggilan dari Mahkamah Kuching yang memberitahu mangsa mempunyai hutang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tetapi dinafikan oleh mangsa.

Katanya, mangsa terus ‘diperangkap’ oleh suspek dengan ‘rantaian lanjutan kes’.

“Panggilan telefon kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang yang turut mendakwa sebagai Sarjan Lim dan memberitahu mangsa terlibat dalam kes permainan wang.

“Selepas itu, suspek bertanya jenis akaun bank mangsa dan mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang dari akaun HSBC Bank dan memasukkan ke akaun peribadi Ambank milik mangsa,” jelasnya.

Kata Gani, mangsa mengikut arahan suspek dan memasukkan wang berjumlah RM30,000 ke dalam akaum AmBank miliknya.

Tambahnya, ‘Sarjan Lim’ meminta username dan password akaun AmBank milik mangsa sebelum menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan wangnya dipindahkan ke akaun pihak ketiga sebanyak tiga kali.

“Kita juga menerima laporan dari Sibu apabila peniaga kerugian RM6,920.85 juga menjadi mangsa Macau Scam.

“Modus operandinya sama apabila mangsa terpedaya dan memberitahu username serta password Cimb Clicks kepada suspek,” ujarnya. –Sarawakvoice