Dalam sidang media di Petrajaya semalam, Pengerusi Jawatankuasa perunding MA63 Sarawak Datuk Amar Asfia Awang Nasar menegaskan, banyak bidang yang boleh dan tidak boleh dipersetujui yang perlu dikaji doleh Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963.

Tegasnya, isu mengenai imigresen adalah satu daripada isu yang tidak boleh dikompromi. Tiada tawar-menawar dalam isu berkenaan.

Sebelum ini, Kerajaan Sarawak turut menyatakan akan terus menggunakan kuasa autonomi imigresen bagi melindungi kepentingan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.

Kenyataan itu dibuat di sebalik langkah kerajaan negeri yang menggunakan hak tersebut untuk mengharamkan orang yang berpandangan ekstremis daripada memasuki negeri ini.

Sekiranya mereka ini dibenarkan masuk, dikhuatiri akan mengganggu perpaduan dan hubungan sesama masyarakat yang telah lama wujud.

Sebelum ini, beberapa orang ahli politik dari Semenanjung telah disekat daripada memasuki Sarawak, terutama di bawah pemerintahan Tan Sri Adenan Satem.

Ketika itu, para pemimpin terbabit menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak perlu mengambil tindakan tegas menyekat kemasukan pemimpin dan anggota pembangkang ke negeri itu bagi mengekang perilaku yang boleh menjejaskan keharmonian.

Langkah itu boleh dilaksanakan menerusi penggunaan kuasa autonomi imigresennya yang sedia ada dalam perlembagaan.

Hakikatnya, kuasa autonomi imigrsen merupakan satu daripada perkara yang terkandung dalam Senarai 18 Perkara yang telah dipersetujui.

Rasional di sebalik sekatan itu adalah masih wujud segelintir pemimpin dan ahli parti pembangkang, khususnya dari Semenanjung, yang sengaja mempolitikkan isu seperti perkauman bagi menjejaskan keharmonian dan menimbulkan kebencian.

Sarawak pada 2014 misalnya, pernah menggunakan kuasanya menghalang pemimpin pembangkang ketika itu, iaitu Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Kini, Zuraida dan Saifuddin sudah menjadi menteri.

Sekatan terhadap pemimpin terbabit telah ditarik balik susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya lalu.

Mereka disekat memasuki Sarawak ketika mahu menyertai kempen pilihan raya kecil Balingian.

Kuasa autonomi imigresen yang sedia ada turut memberi keistimewaan kepada penduduk tempatan.

Antaranya ialah mengawal kemasukan orang luar ke negeri itu bagi memberi jaminan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada usahawan dan rakyat tempatan.
Sebenarnya, inilah asas kuasa autonomi berkenaan diberi kepada Sarawak, dan juga Sabah menjelang pembentukan Malaysia pada 1963.

Tujuannya adalah untuk melindungi rakyat Sabah dan Sarawak daripada ‘ancaman’ kehadiran mereka dari Malaya dan Singapura yang lebih maju.

Dikhuatiri, rakyat Sarawak akan ‘ditenggelami’oleh kehadiran rakyat dari wilayah berkenaan.

Mereka dikatakan sukar bertanding dari segi mendapat pekerjaan atau peluang perniagaan.

“Kita mengawal kemasukan orang luar ke negeri kita supaya kita dapat menjamin mereka daripada segi pekerjaan, perniagaan dan kawalan kepada khazanah negeri kita iaitu kepunyaan negeri kita.

“Ini telah dipersetujui dan adalah keistimewaannya sehingga ia dimasukkan ke dalam perlembagaan,” kata Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri suatu ketika dahulu.

Sabah dan Sarawak adalah dua negeri di Malaysia yang mempunyai autonomi ke atas imigresen.

Benarkah Kerajaan Sarawak telah menyalahgunakan kuasa autonomi imigresen dengan melarang ahli politik pembangkang atau kalangan yang lantang mengkritik kerajaan daripada memasuki negeri ini?

Adenan Satem pernah berkata, larangan itu terpakai kepada semua individu yang dianggap sebagai petaksub perkauman atau pelampau tanpa mengira latar belakang politik atau agama mereka, termasuk penyokong Barisan Nasional (BN) ketika itu.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi Sarawak. Jangan tuduh saya hanya melarang anggota pembangkang, saya juga melarang penyokong BN daripada datang ke sini,” beliau dipetik sebagai berkata.

Jelas Adenan, kerajaan negeri mengamalkan dasar terbuka, namun tidak akan bertolak ansur dengan kalangan bersikap perkauman dan pelampau yang berusaha untuk memusnahkan perpaduan dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama di negeri ini.

“Saya tidak akan membenarkan orang seperti (Datuk) Ibrahim Ali dan Dr Ridhuan Tee (Abdullah) untuk datang ke sini meracuni fikiran masyarakat kita,” katanya.

Persoalannya, adakah dasar ini masih perlu diteruskan.

Adakah ia baik untuk masa depan negara dan pembinaan negara bangsa?

Barangkali kita perlu tanya pengerusi PH Chong Chieng Jen tentang perkara ini. –Sarawakvoice