KUCHING: Panik selepas “disaman” menyebabkan jururawat wanita berusia 35 tahun dari Padawan menjadi mangsa terkini Macau Scam yang berlaku Ahad lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa yang rugi RM6,000 terlebih dahulu menerima panggilan dari seorang wanita di talian 016-5639435.

“Suspek yang memperkenalkan diri sebagai Puan Fazura memberitahu mangsa mempunyai tunggakan saman dan perlu dibayar dengan segera sebelum diambil sebarang tindakan.

“Bagi ‘pengesahan’ saman tersebut, panggilan mangsa disambungkan kepada lelaki yang menyamar sebagai Sarjan Mark di talian 011 51289584,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang diterima di sini, semalam.

Kata Gani, suspek memberitahu mangsa perlu segera membayar saman RM6,000.

“Mangsa yang terpedaya memasukkan wang berjumlah RM6,000 ke dalam akaun Maybank suspek atas nama Nur Aeffariesha.

“Kita juga menerima satu lagi laporan Macau Scam dari Bintulu, namun mangsa berjaya mengelak diri diperdaya,” ujarnya. –Sarawakvoice