Sunday, June 26, 2022

Wawancara Bersama Linggi: “GPS sokong yang baik, menentang yang tak baik”

Secara Rawak

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menerima sijil pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan.

“Kami bersyukur apabila GPS diluluskan dan ia memudahkan GPS terus mengorak langkah ke hadapan,” kata Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Alexander Nanta Linggi.

Linggi ditemu bual Editor Eksekutif Mingguan Sarawak, Awang Shahferi Adeni melalui telefon sekitar 7.20 hingga 7.43 malam tadi.

Bila sijil pendaftaran diluluskan?

Kami menerima berita baik ini pada tengah hari Khamis lalu (22 November). Ketika itu saya berada di kawasan saya. Datuk Sri Fadillah Yusof (Ketua Whip GPS yang juga Naib Presiden Kanan PBB) yang mewakili GPS mengambil sijil tersebut.

Setiausaha Agung PBB Datuk Alexandar Nanta Linggi.

Bagi Datuk, adakah ia satu kejutan?

Pada mulanya saya tidak menjangka Menteri Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jawapan ia diluluskan… tetapi hakikatnya saya tidaklah begitu terkejut kerana proses pendaftaran biasanya mengambil masa tiga hingga enam bulan.

Jadi, dalam hal ini nampaknya proses pendaftaran GPS mengambil masa sekitar empat bulan.

Hala tuju GPS selepas ini?

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat selama ini dalam proses pendaftaran terutama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Dengan kelulusan ini, maka GPS bebas menjalankan sebarang aktiviti parti dan politik di peringkat akar umbi.

Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak merupakan antara objektif penubuhan GPS. Jadi bagaimana Datuk melihat perkara tersebut?

GPS merupakan gabungan parti tempatan di Sarawak… iaitu hanya parti di tempat kita sahaja. Kita sebagai “independent block” iaitu tidak terikat kepada mana-mana pihak dan kita boleh bekerjasama dengan pusat.

Kita akan sokong apa-apa yang baik dan menentang apa-apa yang tidak baik. GPS merupakan platform yang terbaik untuk penduduk Sarawak mencapai dan menikmati hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Landskap politik tanah air berubah 360 darjah selepas Pilihan Raya Umum (PRU14) Mei lalu. Adakah pembentukan GPS sebagai langkah pragmatik mengharungi “gelora dan cabaran” politik tanah air selepas ini?

Pembentukan GPS berlandaskan kesedaran tinggi kita untuk menjaga kepentingan dan hak rakyat Bumi Kenyalang. Jadi, GPS landasan terbaik ke arah itu (menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Sarawak) secara keseluruhannya.

Wujudnya GPS tepat pada masanya kerana melalui GPS kita boleh bergerak dengan sendiri. Dan tidak ada masalah untuk kita bekerjasama dengan Kerajaan Pusat demi kebaikan warga Sarawak. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru