Sunday, June 26, 2022

Mahyan akui skuad S’wak terlalu banyak kelemahan hadapi Liga M’sia 2019

Secara Rawak

PENASIHAT skuad Sarawak 2019, Awang Mahyan Awang Mohamad menegaskan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sekarang ini menghadapi cabaran mengatasi pelbagai kelemahan musim lalu.

“Bagi saya, terlalu banyak kelemahan dalam pasukan 2018… jadi kita tidak mahu ia berulang kepada pasukan 2019,” jelas Mahyan.

“Boleh dikatakan pasukan 2018 ‘bertuah’ untuk kekal dalam Liga Perdana… kalau dilihat dari segi prestasi, Sarawak 2018 sepatutnya diturunkan ke Piala FAM,” tegas Mahyan ketika ditemui di Stadium Negeri.

“Kalau kita bercakap berkaitan prestasi pemain… saya boleh katakan semua posisi yang lemah, tidak ada yang bagus,” ujarnya.

“Malah mereka (pemain) juga lemah dari segi semangat dan mental,” katanya.

DENGAR SINI… Penasihat skuad Sarawak 2019, Awang Mahyan (tiga dari kanan) memberikan taklimat kepada barisan pelatih skuad Sarawak sambil diiringi Ketua Jurulatih Pengiran Bala (tiga dari kiri) dan Penolong Jurulatih Safri Amit (dua dari kanan) serta staf kejurulatihan. Foto SAHREIN MALOH FAS

“Jika kami dapat mengatasi kelemahan tersebut sebanyak 70-80 peratus untuk pasukan 2019, ia sudah dikira cukup bagus,” ujar bekas jurulatih Sarawak 1988-1989 itu.

Mahyan berharap barisan pelatih yang menjalani ujian pemilihan skuad Sarawak 2019 yang bermula Rabu lalu agar menunjukkan semangat dan kesungguhan tinggi untuk menyarung jersi Sarawak.

“Sebaik seseorang pemain itu menyarung jersi negeri, maka secara automatis dia ada tanggungjawab besar… tahu apa yang perlu dilakukan. Semangat inilah yang ada dalam diri pemain pasukan dahulu (Ngap Sayot),” jelasnya.

“Mereka bermain bersungguh-sungguh tanpa terlalu memikirkan soal ganjaran atau gaji… tidak seperti pemain sekarang ini yang terlalu memikirkannya (gaji) sehingga menjejaskan prestasi sendiri dan akhirnya menjejaskan pasukan secara keseluruhan,” kata Mahyan.

“Lambat sahaja gaji keluar… maka mulalah hilang semangat. Harus diingat kebanyakan pasukan dalam Liga Malaysia yang menghadapi masalah gaji, bukan hanya satu atau dua pasukan,” katanya.

REBUT… Pelatih skuad Sarawak bersaing ketika sesi pemilihan di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching

Sarawak kekal bersaing dalam Liga Perdana 2019 setelah gagal menyerlah dalam saingan Liga Perdana 2018.

Sarawak beraksi dalam Liga Super pada 2017, 2016, 2015 dan 2014.

Pada 2013, Sarawak muncul juara Liga Perdana ketika dibimbing oleh Robert Alberts.

Sarawak pernah muncul juara Liga Perdana 1997 di bawah kendalian Alan Vest.

Ketika itu Liga Perdana merupakan liga utama yang dibarisi beberapa pasukan gergasi seperti Selangor, Sabah, Pahang dan Kedah.

Dari segi sejarah, Sarawak tidak pernah menjuarai Piala Malaysia, tetapi pernah menjuarai Piala FA (1992), Liga Perdana (1997 & 2013) dan Piala Sumbangsih pada 1998.

Pencapaian terbaik Sarawak dalam kempen Piala Malaysia ialah ke pentas final 1999, tetapi kalah 2-1 kepada Brunei.

Ketika itu Sarawak dipimpin oleh Jalil Ramli. Sarawak juga pernah ke separuh akhir Piala Malaysia 1994 dan 1995.

PENCAPAIAN SARAWAK DALAM LIGA MALAYSIA

1992: Juara Piala FA
1997: Juara Liga Perdana (Liga Utama)
1998: Juara Piala Sumbangsih
2013: Juara Liga Perdana (Liga Kedua)
1999: Final Piala Malaysia
2000: Final Piala FA
1996: Final Piala FA
1988: Separuh akhir Piala Malaysia
1994: Separuh akhir Piala Malaysia
1995: Separuh Akhir Piala Malaysia

–Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru