KUCHING: Penyandang Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian mengakui wujudnya elemen yang ingin memecah belah perpaduan parti itu sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, elemen perpecahan amat nyata tercetus ekoran pelantikan jawatan Pengerusi PKR Negeri Sarawak.

“Selama 10 tahun saya dipilih menjadi Pengerusi PKR Negeri, keadaannya amat harmoni atas semangat bersatu padu.

“Namun, keharmonian terbabit tergugat beberapa bulan lalu adalah kerana pelantikan jawatan Pengerusi PKR Negeri,” katanya kepada pemberita selepas tiba dari Miri disambut 300 penyokong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini semalam.

Baru yang juga Menteri Kerja Raya menambah, elemen perpecahan meletus apabila terdapat suara bahawa beberapa individu terlepas dari peruntukan perlembagaan.

DITANYA… Baru Bian ditemu bual oleh pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di Kuching, semalam. Foto RAMIDI SUBARI

“Ini amat jelas yang anda mesti konsisten dengan undang-undang.

“Pelantikan Pengerusi PKR Negeri yang baharu harus mengikut Peruntukan Perlembagaan Parti dan saya mengalu-alukan pengumuman dibuat Presidan PKR Pusat, Datuk Sri Anwar Ibrahim baru-baru ini,” jelasnya.

Katanya, pelantikan jawatan tersebut di Sarawak dan Sabah agak unik kerana memberi peluang kepada ketua cabang menentukan calon yang layak.

“Pengerusi PKR Negeri akan dilantik oleh Presiden PKR Pusat selepas mendapat maklum balas dari ketua cabang malah, proses berkenaan dilakukan sebelum ini.

“Tindakan sedemikian memberi kuasa autonomi kepada Sarawak dan Sabah sebagai rakan setaraf seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya.

Bagaimanapun, Baru percaya kemelut dalam PKR Sarawak dapat diselesaikan secara baik kerana setiap ahlinya cukup matang untuk mengatasinya.

Baru-baru ini, wujudnya ‘cakap-cakap’ dalam kalangan ahli PKR Negeri menyatakan jawatan Baru sebagai Pengerusi PKR Negeri diganti oleh Ahli Parlimen Julau dan Ketua Bahagian PKR Julau, Larry Sng.

Terdapat ahli parti mendakwa jawatan pengerusi negeri dilantik oleh bahagian seperti Pengisytiharan Kuching 2012 dan 2014 dan bukannya presidan parti yang diguna pakai di Semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, Anwar memberi jaminan yang pelantikan Pengerusi Negeri dibuat menurut perlembagaan parti. –Sarawakvoice