KUCHING: Tidak sedar kehadiran motosikal di sebelahnya menyebabkan seorang pemandu lori pembancuh simen melanggar mati seorang penunggang motosikal di Kuching Samarahan Express Way di sini petang tadi.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima panggilan awam berhubung insiden terbabit sekitar jam 3 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit dari arah Kota Samarahan dan hendak memasuki kawasan pembinaan yang terletak di sebelah kirinya.

“Pemandu terbabit tidak nampak penunggang motosikal tersebut, menyebabkan pergeselan berlaku.

Katanya, penunggang motosikal terbabit kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak.

“Mangsa kemudian dibawa Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk prosedur bedah siasat.

Identiti mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Ismail Ahmad, 57 tahun, pekerja am sebuah syarikat pembinaan yang berasal dari Kampung Meranek di sini. –Sarawakvoice