MIRI: Seorang lelaki tertipu, manakala dua wanita berjaya mengelak daripada ditipu sindiket Macau Scam, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa yang tertipu ialah peniaga berusia 29 tahun dan mengalami kerugian RM30,000.

Menurut beliau, mangsa menerima panggilan telefon daripada lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Koperal Asman’ dan memberitahu kononnya mangsa terlibat insiden langgar lari di Simpang 4, Johor menggunakan kereta sewa jenis Proton Saga pada 19 November lalu, sedangkan mangsa berada di Miri pada tarikh tersebut.

“Selepas itu, suspek menyuruh mangsa menghubungi Balai Polis Johor Bahru di talian 073532124 untuk semakan selepas mengatakan maklumat peribadi mangsa digunakan oleh orang lain.

“Mangsa menghubungi nombor yang diberikan dan panggilannya dijawab oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Selina’ yang kemudiannya meminta maklumat peribadi mangsa kononnya untuk semakan.

“Selepas itu, ‘Sarjan Selina’ memberitahu mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah bernilai RM2.28 juta melalui akaun sebuah bank dan meminta mangsa menghubungi ‘Inspektor Max’ kononnya boleh membantu membersihkan nama mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi ‘Inspektor Max’ di talian 011-51289584 dan suspek itu memberitahu kononnya waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mangsa.
“Suspek kemudian meminta mangsa memindahkan wang berjumlah RM30,000 daripada akaunnya ke akaun yang diberikan suspek kononnya untuk tujuan memeriksa sama ada duit itu bersih atau tidak.

“Wang berkenaan dipindahkan secara dalam talian,” katanya.

Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas seorang lagi suspek menghubunginya dan memintanya supaya memasuk wang selebihnya ke akaun yang sama melalui mesin ATM.

Sementara itu, Mustapha berkata dua wanita yang berjaya mengelak daripada ditipu ialah seorang suri rumah berumur 27 tahun dan kerani berumur 34 tahun.

Katanya, suspek menggunakan modus operandi sama dengan menyamar sebagai anggota atau pegawai polis untuk memperdaya mangsa. –Sarawakvoice