KUCHING: Seorang wanita yang bekerja sebagai jurujual maut selepas kenderaan Perodua Kelisa yang dipandu suaminya bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Honda Accord di Jalan Batu Kawa–Bau di sini pagi tadi.

Menurut Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu, insiden dipercayai berlaku sekitar jam 9.15 pagi.

“Ketika kejadian, kenderaan yang dipandu oleh suami mangsa yang juga seorang petani dari Kampung Sungai Pinang Ulu sedang bergerak dari arah Kuching menuju Bau sebelum bertembung dengan kenderaan Honda Accord tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun.

“Siasatan awal kita mendapati kenderaan Honda Accord tersebut
telah memasuki laluan bertentangan ketika cuba hendak memotong kenderaan lain di hadapannya tanpa menyedari kehadiran kenderaan mangsa.

Akibat pertembungan tersebut kata Alexson, suami mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan segera dikejarkan ke di wad kecemasan Hospital Umum Sarawak .

Pemandu Honda Accord pula mengalami cedera di bahagian tangan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Bau manakala penumpang dua rakannya mengalami cedera ringan.

Punca kemalangan katanya lagi, masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –Sarawakvoice