Tuesday, August 16, 2022

Guna gimik “padang futsal” berpolitik, Hazland tuding Fidzuan (Amanah) terdesak, tak beretika

Secara Rawak

KUCHING: Terdesak dan tidak beretika — itu kata-kata padu ditujukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni kepada Pengerusi Amanah Sarawak (Amanah) Fidzuan Zaidi.

Memetik Buletin N5 Demak Laut pada Jumaat, Fidzuan dikatakan mendakwa Hazland tidak menunaikan janji dalam isu membina padang futsal di Kampung Hijrah Bako.

Hazland dalam “pembelaannya” berkata, perbuatan tersebut cubaan menidakkan sumbangannya sebagai ADUN Demak Laut selama ini.

Bahkan, ia disifatkan sebagai memanipulasi projek pembangunan yang diberikan Kerajaan Negeri Sarawak kepada penduduk Kampung Hijrah Bako selama ini menurut sorotan buletin tersebut.

Hazland dalam kenyatannya dilaporkan berkata, projek pembinaan Padang Futsal Kampung Hijrah Bako merupakan sebahagian daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Demak Laut 2018 dalam proses cabutan undi kontraktor dan pelaksanannya dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

“Selain Kampung Hijrah Bako, padang futsal ini turut dibina di beberapa kampung antaranya Kampung Muhibah Seberang Pending, Kampung Pinggan Jaya, Kampung Semilang dan Kampung Bako Hulu,” Hazland dipetik berkata.

Menurut beliau, semua lima projek pembinaan padang futsal ini dibina tahun ini dengan harga setiap padang futsal menelan kos RM180,000 hingga RM200,000 dilengkapi pagar, lampu dan tandas.

Hazland merespons pada tindakan Fidzuan yang mengajak belia Kampung Hijrah Bako bergotong-royong membina padang futsal pada Khamis lepas.

Hazland dikatakan meminta Fizuan agar berpolitik secara matang tanpa perlu memperlekeh usaha dan pembangunan yang dibawa Kerajaan Sarawak di DUN Demak Laut sebelum ini.

Hazland mengunjurkan, di DUN Demak Laut, Kerajaan Sarawak memperuntuk RM5 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan kecil dan sederhana menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2018 dan jumlah ini turut diterima pada 2019 dan 2020.

Hazland mengecam tindakan Fidzuan menggunakan “janji bina padang futsal” bagi menarik sokongan penduduk terutama belia di Kampung Hijrah Bako.

Beliau meminta Fidzuan buktikan dirinya relevan bertanding di DUN Demak Laut menerusi keupayaan dan manifestonya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru