KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg malam tadi mengesahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menerima sijil pendaftarannya daripada Pendaftar Pertubuhan pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi protem parti baharu itu mengumumkan demikian ketika merasmikan majlis makan malam Dewan Perniagaan dan Industri Sarawak (SCCI) di sini.

“Semalam (Khamis) kita telah mendapat lesen untuk bergerak … justeru mari kita bergerak dalam arah yang sama untuk membangunkan Sarawak,” tambahnya.

Sementara itu, portal The Malay Mail memetik Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang sebagai mengesahkan perikatan baharu itu telah menerima sijil kelulusan dan kepimpinan tertinggi parti itu cukup gembira dengan perkembangan tersebut.

GPS telah mengemukakan permohonannya kepada Pendaftar Pertubuhan pada Julai lalu.

Kepimpinan GPS dijangka akan bermesyuarat pada minggu hadapan untuk membincangkan pendafataran ini dan pelancaran logo baharunya.

GPS ditubuhkan selepas PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) mengumum keluar dari Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak pada 12 Jun.–Sarawakvoice

Gambar fail