KUCHING: Beberapa agensi media dan syarikat akhbar di negara ini, termasuk di Sarawak mula merasai keperitan pengecilan operasi susulan ekonomi buruk, dan kesan pasca Pilihan Raya Umum 2018.

Di Sarawak, beberapa syarikat sudah melaksanakan pelan pengecilan manakala yang lain dijangka melaksanakannya dalam masa terdekat.

“Keadaan ini didorong oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah kos percetakan yang meningkat, pengedaran yang menguncup dan paling penting kesan media digital, yang mengambil alih peranan akhbar konvesional.

“Bagaimanapun akhbar konvensional tidak akan tutup sepenuhnya, kerana ia masih berperanan kepada pembaca.

“Malah atas alasan kesihatan termasuk radiasi di beberapa negara, penggunaan akhbar konvesional kembali pulih,” kata sumber industri ketika ditemui semalam.

Foto: Eye Radio

Pun begitu katanya, untuk kekal relevan dalam kalangan pengiklan, semua syarikat akhbar masih perlu mengikuti trend digital, terutama untuk segmen pengiklanan.

“Malah platform yang ada perlu dipelbagaikan,” tambahnya lagi.

Media Prima Bhd pada minggu ini memberitahu bahawa mereka mencatatkan kerugian bersih lebih kecil sebanyak RM30.84 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2018 berbanding kerugian bersih sebanyak RM105.17 juta dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan ini berkurangan kepada RM271.8 juta daripada RM288.51 juta sebelumnya.

Bagaimanapun kata Pengerusi Kumpulan, Datuk Mohd Nasir Ahmad, pelbagai inisiatif dan pencapaian Media Prima setakat ini mengesahkan syarikat itu berada di landasan betul untuk mencapai misi transformasi dalam menghadapi pelbagai cabaran signifikan yang telah memberi kesan terhadap industri media di seluruh dunia.

“Kami terus mengembangkan aspek digital kami sejak menjadi syarikat media digital ketiga terbesar di Malaysia, manakala segmen membeli-belah dari rumah dijangka melepasi sasaran perolehannya sebelum akhir tahun ini.

“Walaupun banyak kerja yang perlu dilakukan dan lebih banyak cabaran yang menanti, kami akan terus menumpukan usaha untuk mempercepatkan pelan transformasi kami dan memastikan pulangan kepada pemegang saham kami,” katanya.

Yang jelas, pengecilan operasi adalah langlah strategik yang wajar dan ia kini diambil oleh kebanyakan syarikat — kecil atau besar.

Untuk rekod, sebuah syarikat akhbar tertua negara akan memulakan langkah pengecilan sukarela daripada 1500 kepada 700 kakitangan, manakala sebuah lagi syarikat gergasi dijangka mengecilkan kekuatan daripada lebih 3900 kepada 1500 orang. –Sarawakvoice