“SKUAD Sarawak 2019 tidak akan mengambil pemain import tempatan dari Semenanjung Malaysia,” tegas penasihat skuad Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamad.

“Kalau kita hendak ambil import tempatan… kita akan ambil pemain dari Sabah, bukannya dari Semenanjung,” katanya.

Menurut Mahyan, 68, kerugian besar apabila mengambil tenaga import tempatan yang hanya setaraf pemain tempatan Sarawak atau lebih sedikit sahaja.

“Kalau pemain itu berstatus import biarlah prestasinya turut menunjukkan ciri-ciri import (berkualiti),” ujarnya.

Mahyan menjelaskan kemungkinan besar pasukan Sarawak 2019 dibarisi tenaga import dari Persipon, Pontianak.

“Saya berkunjung ke Pontianak baru-baru ini bagi memantau pemain di sana,” katanya.

“Terdapat empat hingga lima pemain yang boleh kita pertimbangkan untuk disarungkan jersi Sarawak. Saya cukup tertarik dengan prestasi dan bentuk fizikal mereka… malah ada yang berketinggian 6 kaki,” jelas Mahyan.

Mahyan yang pernah ‘menggegar’ bola sepak Malaysia suatu ketika dahulu melalui “trademark” Ngap Sayot 1988 sememangnya menitikberatkan aspek fizikal pemain dalam membentuk pasukan mantap.

Ketika era Ngap Sayot, Sarawak dibarisi dua pemain pertahanan tinggi lampai (6 kaki lebih) iaitu Sulaiman Mustanir dan Roslan Mustapha.

Menurut Mahyan, pemain berfizikal tinggi atau tegap sentiasa mempunyai kelebihan berbanding pemain yang rendah.

Berkaitan pemilihan skuad Sarawak 2019 yang bermula petang semalam, Mahyan sentiasa membuka ruang luas kepada pemain tempatan, asalkan mereka menunjukkan prestasi dikehendaki.

Sekitar 80 pemain menjalani ujian pemilihan di Stadium Negeri yang berlangsung selama enam hari.

Skuad Sarawak 2019 dibimbing oleh Pengiran Bala dan turut dibantu Safri Amit. –Sarawakvoice