RIO DE JANEIRO: Sejumlah 61 orang telah diberkas pada Khamis oleh polis persekutuan negara Brazil dalam satu operasi besar-besaran berkaitan pornografi membabitkan kanak-kanak.

Polis telah menahan kesemua individu di 23 negeri di Brazil dan merampas sejumlah komputer dan beberapa barangan lain.

Menurut agensi berita China Xinhua, penahanan itu merupakan fasa ketiga usaha bersepadu bagi menghukum pesalah dalam kes pornografi kanak-kanak dan pedofilia, yang digelar sebagai ‘Operation Light in Childhood’.

Menghasilkan, menyimpan dan berkongsi bahan lucah membabitkan kanak-kanak boleh dihukum penjara maksimum lapan tahun di bawah undang-undang Brazil.

Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki yang ditahan di in Rio de Janeiro memiliki sebanyak 48,000 fail pornografi kanak-kanak dalam komputernya.

“Ini adalah satu jenayah jijik yang mengaibkan kanak-kanak dan golongan belia kami, menjejaskan mereka serta keseluruhan masa depan kita,” kata Menteri Keselamatan Awam Raul Jungmann.

Sementara itu, polis Brazil turut menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Argentina.

Menurut polis persekutuan, polis Argentina telah menjalankan operasi serentak dan melaksanakan 41 waran geledah.

Fasa pertama ‘Operation Light in Childhood’ pada 2017 menyaksikan sejumlah 112 suspek ditahan manakala yang kedua, pada bulan Mei tahun ini, menyaksikan penahanan 251 suspek.– BERNAMA

Gambar hiasan