KUCHING: Hujan yang mencurah sejak jam 2 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini lumpuh petang tadi.

Malah kesesakan jalan begitu teruk kerana bukan sahaja sesetengah kawasan terputus oleh banjir kilat, malah disebabkan jumlah kenderaan banyak pada waktu puncak.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, antara kawasan terjejas termasuklah kawasan Jalan Tun Abang Haji Openg, yang melibatkan Padang Merdeka dan Blok Baharu Hospital Umum Sarawak.

Turut terjejas di kawasan persimpangan Jalan P Ramlee dan Jalan Market, yang tenggelam ke paras pinggang.

“Keadaan ini berlaku disebabkan hujan luar biasa,” tambahnya lagi.

Beberapa kawasan rendah di sekitar bandar raya ini dilaporkan terkawal namun berlaku insiden pokok tumbang di kawasan Tabuan Jaya.

“Kita masih memantau dan berjaga-jaga dengan situasi yang berlaku,” jelasnya lagi. –Sarawakvoice