Sunday, June 26, 2022

Daripada 80 calon, siapa pemain “pintar menyerang, bijak bertahan” pilihan Pengiran

Secara Rawak

JURULATIH skuad Sarawak 2019, Pengiran Bala, 56, mencari pemain penyerang yang pintar memanfaatkan peluang dan bijak ketika bertahan.

“Dalam bola sepak, yang anda inginkan ialah jaringan untuk meraih kemenangan,” jelas Pengiran.

“Jadi sebelum menjaringkan gol, kita perlukan pemain yang berupaya mencipta peluang atau membuka ruang,” ujarnya.

“Tetapi pada masa yang sama anda juga memerlukan pemain yang bijak bertahan bagi mengelak gawang kita dibolosi,” katanya.

Menurut Pengiran, ciri-ciri “menyerang dan bertahan” amat dititikberatkan dalam sesi pemilihan pemain skuad Sarawak yang bermula petang semalam di Stadium Negeri Petra Jaya Kuching.

Sejumlah 42 pemain dari seluruh Sarawak menyertai ujian pemilihan pada hari pertama petang semalam yang dipantau oleh Pengiran bersama pembantunya, Safri Amit serta Awang Mahyan.

Secara keseluruhan sekitar 80 pemain akan turut serta dalam sesi pemilihan yang memakan masa selama enam hari itu.

Sementara itu, Pengiran tidak menolak keperluan pemain import asing untuk menyertai skuad Sarawak 2019.

“Saya akui kehadiran import asing dalam sesebuah pasukan cukup penting bagi menambah kekuatan… tetapi biarlah ia selaras dengan keperluan dan kemampuan pasukan,” kata Pengiran.

Sarawak akan beraksi dalam Liga Perdana bagi musim 2019 setelah gagal memberikan impak dalam saingan 2018.

Memang tidak dapat dinafikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, skuad Sarawak ketandusan penyerang tempatan berwibawa sebagaimana pada penghujung era 80-an hingga awal 2000 seperti Razak Ismail, Pengiran Bala, Burhaniza Abu Bakar, Affendi Julaihi, Ramos Sari, Ramles Sari dan Zulkarnaen Poasa.

Malah, Sarawak juga pernah memiliki penyerang import tempatan bertaraf ‘A’ seperti Shamsurin Abdul Rahman pada era 90-an.

Manakala, penyerang import asing berkualiti yang pernah membantu Sarawak juara ialah seperti John Hunter (Piala FA 1992) dan Alistair Edwards (Liga Perdana 1997).

Di bahagian pertahanan pula, Sarawak pernah mempunyai pemain tempatan bertaraf kebangsaan seperti Dahlan Matusin, Zaidel Sakup, Roslan Ismail, Daud Hamid dan Allahyarham Sazali Ramli.

Manakala, pemain tengah yang bijak dan pintar membuka ruang ialah Mohd Ali Sapiee yang dianggap oleh Awang Mahyan sebagai pemain tengah yang tiada tolok banding di Sarawak.

Selain itu, ialah bekas kapten Malaysia, Bobby Pian yang dilabel sebagai pemain terhebat Sarawak, serta Ibrahim Mantali yang dikategorikan oleh bekas jurulatih Malaysia, Abdul Rahman Ibrahim sebagai ‘jentera penggerak’ yang bijak.

Agak malang bagi Sarawak sekarang ini kerana pemain hebat seperti Joseph Kallang Tie, Ashri Chuchu, Tommy Mawat tidak bersama pasukan Sarawak kerana menyertai pasukan di Semenanjung. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru