Sunday, June 26, 2022

Berbeza hingga lima kali ganda, Mahyan ikrar selaraskan gaji pemain import, tempatan

Secara Rawak

“PERBEZAAN gaji pemain import dan pemain tempatan yang amat ketara merupakan antara faktor menyumbang kemerosotan sesebuah pasukan dalam kancah Bola Sepak Liga Malaysia.”

Demikian pendapat penasihat skuad Sarawak 2019, Awang Mahyan Awang Mohamad, 68.

“Sudah pasti moral pemain tempatan akan ‘turun’ jika mendapat gaji yang jauh lebih kecil daripada pemain import… sekitar tiga hingga lima kali ganda,” tegas Mahyan kepada pemberita ketika meninjau sesi pemilihan skuad Sarawak 2019 di Stadium Negeri petang semalam.

“Masalahnya ialah apabila prestasi pemain import lebih kurang sama dengan prestasi pemain tempatan, sedangkan gaji mereka amat jauh berbeza,” kata legenda Ngap Sayot itu.

Misalnya, pemain tempatan hanya menerima RM5,000 hingga RM10,000 sebulan, sedangkan pemain import menerima ganjaran RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.

GANDINGAN MANTAP… Mahyan (kanan) dan Pengiran Bala.

Ia merujuk kepada perbezaan gaji pemain tempatan, import tempatan dan import asing.

Malah, import tempatan berstatus bintang kebangsaan mampu meraih gaji RM50,000 ke atas.

Manakala import asing berkelas A mampu meraih habuan RM80,000 hingga RM100,000 sebulan.

Malah ada yang mencecah RM150,000 hingga RM200,000.

Oleh itu, menurut Mahyan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bakal menyelaraskan gaji siling pemain tempatan dan import.

PANASKAN BADAN… Barisan pemain dari seluruh Sarawak yang menjalani ujian pemilihan pasukan Sarawak 2019 di Stadium Negeri petang semalam.

“Biarlah gaji pemain tidak jauh berbeza dan pihak kami memang membincangkan perkara tersebut,” ujar Mahyan yang pernah membawa Sarawak ke gerbang separuh akhir Piala Malaysia 1988 dan ke suku akhir pada 1989.

Mahyan kembali ke arena bola sepak Sarawak sejak tahun lalu setelah 28 tahun menyepi.

Sebelum ini, bekas jurulatih yang pernah terjun dari Jambatan Gantung Satok pada 1988 itu bergiat aktif dalam sukan boling padang dan kriket sebagai peneraju.

Kini Mahyan kembali berganding bahu dengan Pengiran Bala sebagai jurulatih dan penasihat setelah bergandingan sebagai pemain dan juralatih 30 tahun yang lampau.

Pengiran yang kini berusia 56 tahun merupakan penyerang utama skuad Ngap Sayot 1988 dan 1989.

Rekod beliau selaku penjaring terpantas pada 1988 ketika menundukkan Pahang 2-1 di Kuching masih lagi belum dipecahkan sehingga sekarang ini.

Ketika itu Pengiran membuka tirai jaringan ketika saingan baru berusia 11 saat. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru