KUCHING: Kerana mencari makanan, seekor buaya sesat ke kawasan kediaman malam tadi, hingga mencetus kegemparan penduduk di Taman Dahlia di sini.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.19 malam tadi dan mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya ke lokasi.

“Kita kemudian menemui seekor buaya bersaiz lebih sekitar lima kaki sedang berlegar di lorong perumahan tersebut.

“Pasukan kemudian bertindak melakukan kepungan sebelum berjaya menangkap serta mengikatnya.

Buaya tersebut kata Ling Hii, dibawa balik ke balai sebelum diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation untuk tindakan seterusnya.

Taman Dahlia terletak tidak jauh dari kawasan Taman Negara Kuching Wetlands, yang kini dikatakan mempunyai kadar populasi buaya yang tinggi. –Sarawakvoice