KUCHING: “Alhamdulillah. Akhirnya berita yang dinanti-nantikan akhirnya menjadi realiti,” kata Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Sri Fatimah Abdullah.

Beliau bersyukur selepas pendaftaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi KDN di Dewan Rakyat berkata, pemohonan untuk mendaftarkan penubuhan GPS diluluskan.

Tambanhnya, surat kelulusan dikeluarkan oleh pihak ROS dalam tempoh terdekat.

Menurut Fatimah lagi dengan terdaftarnya GPS secara rasmi, lebih mudah Sayap Wanita, Pemuda dan Badan Induk PBB bergerak ke akar umbi.

“Sudah ada platform yang sah bagi kami untuk memberi penjelasan ke akar umbi mengapa kita ‘bercerai’ dengan Barisan Nasional (BN).

“Malah, kita juga boleh menjelaskan kepada akar umbi berkaitan objektif penubuhan dan perjuangan GPS,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak menegaskan perjuangan rakyat Sarawak lebih utuh dengan kewujudan GPS secara rasmi.

Terdahulu, empat parti di Sarawak iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokrasi Progresif (PDP) mengumumkan keluar dari BN selepas gagal membentuk Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu untuk menubuh GPS. –Sarawakvoice