SIBU: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengambil inisiatif menganjurkan Hari Eksport Sarawak 2018 di Hotel Kingwood, di sini esok sebagai usaha menjadikan Sarawak pengeksport utama negara dengan kepelbagaian produk dan perkhidmatan.

Malah ia bertujuan mendorong komuniti perniagaan di Sibu meneroka pasaran luar.

Pengarah Wilayah MATRADE Sarawak, Leany Mokhtar berkata, program ini juga turut memberi pendedahan kepada komuniti perniagaan tempatan, khususnya pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan potensi pasaran global yang boleh diterokai mereka.

“Selain itu, ia menjadi platform untuk membantu usahawan tempatan melebarkan skop pemasaran produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat global.

“Ini termasuk mempromosikan kemudahan dan fasiliti disediakan kerajaan melalui MATRADE, termasuk pelbagai insentif bagi menggalakkan aktiviti eksport dalam kalangan usahawan tempatan.

Kata Leany, antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Program Go Export (Go-Ex), e-Trade, Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dan Dana Perkhidmatan Eksport (ESF).

Penganjuran Hari Eksport Sarawak 2018 turut mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan e-Dagang Sarawak (MITEC) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

Katanya, terdapat lebih 450 syarikat dari Sarawak berdaftar dengan MATRADE membabitkan pelbagai sektor, termasuk automotif, mesin dan peralatan, minyak sawit, bahan binaan, produk makanan dan pertanian, selain pembinaan serta baik pulih kapal.

“MATRADE malah menggalakkan lebih banyak syarikat dari Sarawak berdaftar dengan agensi ini bagi membolehkan mereka memperoleh manfaat dari kemudahan dan insentif disediakan.

“Ini termasuk peluang pembangunan eksport, selain aktiviti promosi dan misi perdagangan yang dianjurkan MATRADE melalui rangkaian 46 pejabat perdagangannya di seluruh dunia,” katanya.

MATRADE jelasnya, juga komited untuk terus mempertingkat prestasi eksport Sarawak seperti yang disasarkan kepemimpinan negeri ini, khususnya Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Eksport antara instrumen utama yang menyumbang kepada usaha pengukuhan ekonomi negeri. Kita cukup komited dalam membantu mencapai kadar pertumbuhan lima peratus ekonomi negeri tahun depan seperti yang disasarkan,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice