Friday, August 19, 2022

GPS lulus, SUPP berikrar berdiri teguh di belakang kepimpinan Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Dengan kelulusan pendaftaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) — menyaksikan banyak perkara dilakukan paerti tersebut di negeri ini.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Dr. Sim Kui Hian berkata, kelulusan GPS juga melambangkan era politik baharu di Sarawak.

“Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana meluluskan pendaftaran GPS.

“Malah, ucapan tahniah saya rakamkan kepada Pengerusi kita yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg apabila menjadi peneraju parti tempatan Sarawak pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita di sini, semalam.

Menurut Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, hanya penduduk Sarawak sahaja mampu menentukan destinasi atau takdir Bumi Kenyalang ini.

“Maka, penduduk Sarawak harus bekerjasama sebagai satu hati dan mengukuhkan perpaduan sekali gus mengelak daripada perpecahan serta dieksploitasi.

“Justeru, banyak perkara dan cabaran yang perlu ditempuhi namun sebagai satu hati, saya percaya kita boleh lakukannya,” tegas Sim.

Katanya, GPS merupakan platform terbaik untuk penduduk Sarawak mencapai dan menikmati hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita SUPP berdiri teguh dengan kepimpinan Ketua Menteri,” ujarnya.

GPS ditubuhkan 12 Jun lalu selepas mengumumkan untuk keluar dari Barisan Nasional (BN) ekoran kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Salah satu komponen parti dalam GPS ialah SUPP selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) yang bertujuan memperjuangkan hak Sarawak menerusi MA63. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru