KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik dan berterima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah meluluskan pendaftaran gabungan empat parti dari Sarawak itu.

Kelulusan pendaftaran GPS diumumkan Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2019 peringkat dasar untuk Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat petang ini.

Tan Sri Muhyiddin memaklumkan bahawa pendaftaran GPS telah pun diluluskan dan surat dari Pendaftar Pertubuhan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Ketua Whip GPS merangkap Naib Presiden Kanan PBB,
Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, GPS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas pertimbangan dan kelulusan pihak Pendaftar Pertubuhan dan juga Menteri Dalam Negeri.

“Ini sekali gus merupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan rakyat Sarawak bagi mempertahankan hak Sarawak dalam Malaysia.

Gambar fail

Pada 12 Jun 2018, empat parti tempatan Sarawak mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional dan membentuk GPS.

Empat parti berkenaan ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP).

Seperti ditegaskan YAB Ketua Menteri Sarawak, GPS akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan atas dasar kepentingan nasional dan hak negeri serta kepentingan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

“Penubuhan GPS bertujuan membolehkan Sarawak bergerak di atas landasan politik baharu, melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran sejajar dengan perubahan aspirasi, keperluan dan kehendak rakyat Sarawak yang memiliki berbagai kaum, budaya serta agama.

GPS katanya, akan melindungi kepentingan rakyat Sarawak tanpa mengambil kira kaum secara inklusif.

Parti gabungan baharu ini akan membolehkan Sarawak memberi lebih tumpuan tentang kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).  –Sarawakvoice