Friday, August 19, 2022

Pendidikan berkualiti jana modal insan minda kelas pertama

Secara Rawak

KABONG: Pihak sekolah perlu menyediakan peluang pembelajaran yang berkualiti dan bertaraf dunia supaya pada akhirnya pelajar yang menerima pendidikan di sekolah dapat menyumbang terhadap jati diri dan daya saing negara serta berminda kelas pertama.

ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir berkata, dalam konteks pendidikan, fungsi utama sekolah ialah bagi memupuk pembelajaran.

Justeru, dengan perubahan persekitaran pendidikan yang penuh dengan ketidaktentuan, sukar diramalkan dan sentiasa terdedah kepada penambahbaikan dan perubahan, proses pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada akses pengetahuan semata-mata.

“Dunia pendidikan kini lebih menjurus kepada proses persediaan menghadapi cabaran yang berbeza pada masa hadapan. Sejajar dengan Misi Nasional dan perakuan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025, salah satu teras utamanya ialah menjana modal insan minda kelas pertama.

“Sebagai wakil rakyat , saya akan sentiasa mengikuti perkembangan dan ingin memastikan bahawa hala tuju sekolah ini jelas dan segala bentuk perancangan dan pelaksanaan program pendidikan yang ada sentiasa akur dengan keperluan yang disebutkan, ” ujarnya.

“Saya sentiasa bersedia untuk memberi sokongan dan bantuan kepada pihak sekolah dan PIBG jika diperlukan. Namun demikian saya mahu Pihak sekolah dan pihak PIBG sentiasa menunjukkan kesungguhan dan peningkatan pencapaian yang memberangsangkan, ” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penyampaian Sijil Sekolah Kebangsaan Abang Leman di sini hari ini.

Tambahnya, beliau sangat berharap agar pihak PIBG akan terus menjadi rakan penting dan pendukung kuat kepada segala usaha yang dilakukan pihak pengurusan sekolah demi kebaikan komuniti kita sendiri dalam bidang pendidikan.

“Permohonan pembinaan bangunan baharu untuk SK Abang Leman sentiasa saya sebut ketika berada di dewan persidangan. Jadi kita berharap kerajaan baharu akan meneruskan rancangan kerajaan terdahulu untuk membina bangunan sekolah baharu untuk sekolah ini bagi menggantikan bangunan lama yang sudah dimamah usia dan semakin usang, ” ujarnya.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Anis Madeli, Guru Besar SK. Abang Leman, Haji Bujang Haji Lee dan Yang Dipertua PIBG SK Abang Leman, Johan Haji Rahman. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru