SYDNEY: Media luar negara melaporkan, Australia dan Malaysia “bertikam lidah”, berkaitan isu cadangan Sydney mahu memindahkan kedutaan besarnya di Tel Aviv ke Baitulmaqdis di Israel.

Malaysia dan Indonesia prihatin pada kenyataan pemimpin jiran mereka, Perdana Menteri Australia Scott Morrison menyuarakan rancangan kemungkinan tindakan itu pada Oktober lepas.

Khamis minggu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed mengangkat isu pemindahan kedutaan Australia dengan Morrison pada Sidang Puncak Asean Ke-33 di Singapura.

“Dalam menangani terorisme, seseorang harus tahu penyebabnya,” kata Mahathir kepada wartawan selepas bertemu Morrison seperti dilaporkan media Australia.

“Menambah kepada penyebab terorisme tidak akan membantu,” tambah Mahathir.

Gambar hiasan

Morrison menyampaikan idea pemindahan kedutaan Australia sekali gus mengakui Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel — ketika perakuan itu ditolak dunia khususnya Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sendiri.

Gagasan yang diutarakan secara tiba-tiba itu dijangka bertujuan meraih simpati komuniti Yahudi sebelum pilihan raya umum penting yang perlu dimenangi Morrison bagi mempertahan majoriti pemerintahannya di Parlimen Australia.

Pendirian terbaharu Australia ini tentulah mendapat perhatian jirannya Malaysia dan Indonesia, dua negara yang giat menyokong perjuangan kemerdekaan Palestin.

Pada Jumaat lepas, Morrison menegaskan Mahathir telah mengangkat masalah kedutaan tersebut, tetapi menyatakan hanya “rakyat Australia menentukan program luar negara Australia”.

Mahathir dan Morrison kemungkinan akan bersua semula pada Sidang Puncak pada APEC di Papua New Guinea akhir minggu ini.

Sementara, dalam wawancara radio pada Jumaat, Menteri Kewangan Australia Josh Frydenberg sempat mengkritik Mahathir yang didakwanya sebagai anti-Semit. –Sarawakvoice