Friday, August 19, 2022

MA63 jadi asas pemimpin Sarawak pertahankan tanah negeri — KM

Secara Rawak

KUCHING: Perjanjian Malaysia 1963 akan menjadi asas kepada pemimpin negeri untuk mempertahankan hak-hak tanah milik Sarawak, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg malam tadi.

Menurutnya, berdasarkan perjanjian tersebut, Kerajaan Sarawak mempunyai asas yang kukuh untuk memastikan hasil yang diperoleh daripada tanah-tanah ini digunakan untuk membangunkan negeri tersebut.

“Tanah merupakan aset yang amat penting dan ia diletakkan di bawah senarai negeri dan menjadi tanggungjawab kita semua, lebih-lebih lagi para pemimpin negeri ini untuk mempertahankannya,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam 100 Years of Excellence – Gloriosus in Seacula anjuran Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Katanya, beliau berbangga kerana Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah menyusuri tiga era utama iaitu era Brooke, Koloni British dan zaman kemerdekaan, selain pengalaman singkat selama dua tahun di bawah pendudukan Jepun.

“Pengalaman ini telah mengajar kita untuk menjadi lebih bersedia menempuh cabaran masa kini.

“Penjajahan selalu dianggap sebagai amat merugikan bagi penduduk pribumi, tetapi beberapa pengajaran yang ditinggalkan oleh Brooke dan Koloni British mendidik kita menjadi pentadbir yang baik, dan ini termasuk dalam menguruskan rekod tanah.

Kata Abang Johari lagi, Charles Vyner Brooke yang ditabalkan sebagai Rajah Sarawak yang ketiga pada tahun 1917 mempunyai latar belakang dalam bidang pentadbiran tanah semasa berada di England dan beliau telah membina asas kepada pentadbiran tanah sekarang.

Pentadbiran tanah di Sarawak kini dilaksanakan di bawah Kanun Tanah Negeri yang diasaskan pada tahun 1958.

Penguatkuasaan kanun ini telah melalui beberapa kali pindaan seiring dengan keperluan semasa rakyat Sarawak, dan ini memastikan hak rakyat terhadap tanah terpelihara serta dapat mendokong agenda pembangunan untuk memacu aktiviti ekonomi mereka. –Sarawakvoice

Foto: Page YB Fadillah Yusof

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru