KUCHING: Perkenalan pembantu tadbir wanita dari Sarikei dengan lelaki dikenali sebagai “Alex Chong” selama enam bulan membawa padah apabila menjadi mangsa terkini Parcel Scam di Sarawak.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, mangsa berusia 47 tahun itu mengalami kerugian RM150,000 selepas berkenalan dengan suspek yang kononnya dari Amerika Syarikat (AS).

“Pada mulanya mangsa menerima panggilan telefon dari penama Eric Lindberg (0146130893) yang memberitahu mangsa supaya menjelaskan bayaran RM10,000 untuk melepaskan Alex Chong serta barang kirimannya dari Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

“Sekiranya gagal membuat sebarang bayaran, suspek mengugut mengeluarkan waran tangkap ke atas mangsa kerana bersubahat dengan Alex Chong bagi kesalahan penggubahan wang haram,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kata Gani, terpedaya, mangsa memasukkan wang ke tujuh akaun dalam tempoh terbabit.

Tambahnya lagi, di Belaga pula kerani wanita berusia 28 tahun turut terjerat dalam sindiket yang sama setelah berkenalan dengan Alam Zeb dari Dublin melalui media sosial Facebook.

“Mangsa menerima panggilan dari pihak ‘Global Express’ yang menyatakan barang kiriman Alam Zeb telah tiba.

“Bagaimanapun, mangsa diminta membuat pembayaran cukai barangan terbabit bagi memudahkan penghantaran tanpa sebarang masalah,” jelasnya.

Katanya, terpedaya, mangsa membuat pemindahan secara online RM1,850 ke akaun Ambank atas nama Siti Zahara Wan Abdullah seperti diarahkan Global Express.

Tegas Gani, tidak terhenti di situ, suspek terus memperdaya mangsa dengan berkata, barangan kiriman merupakan wang tunai berjumlah AS$70,000 dan menuduh mangsa terlibat dengan penyeludupan mata wang asing.

“Bagi mengelak mangsa dikenakan tindakan undang-undang, suspek memintanya membuat pembayaran RM7,000 ke akaun sama.

“Suspek terus meminta mangsa memasukkan wang RM23,000 namun mangsa tidak berbuat demikian apabila menyedari diri ditipu,” ujarnya.

Beliau turut berkata, jumlah kerugian yang dialami mangsa ialah RM8,850. –Sarawakvoice