KUCHING: Menerima panggilan dari “pos Malaysia”, pembantu penguat kuasa wanita berusia 51 tahun berputih mata kerugian RM112,000 apabila menjadi mangsa terbaharu Macau Scam di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata mangsa menerima panggilan kononnya dari “Pos Malaysia” Kuala Lumpur dengan bertanya sama ada mangsa ada menerima sebarang dokumen pos segera.

Mangsa memberitahu tidak menerima dokumen terbabit kerana berada di Kuching bukannya di Terengganu.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai Albert Wong meminta mangsa mengesahkan nama penuh dan kad pengenalan sebelum memberitahu mangsa ada memohon kad kredit di Public Bank Terengganu pada Julai lalu bagi tujuan pembelian seunit iphone X melalui lazada.com.my,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Gani, mangsa menafikan perkara terbabit sebelum talian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk membuat ‘laporan’ yang turut ‘mendedahkan’ mangsa terlibat dengan kes wang haram dan penjualan dadah seberat enam kilogram.

Gambar hiasan

“Pelbagai ugutan dibuat oleh suspek untuk memperdaya mangsa termasuk bersubahat dengan penjenayah bernama Tan Wee Lung sehingga menyebabkan mangsa panik dan bimbang kerjayanya terjejas.

“Mangsa kemudiannya diarah memasukan wang ke dalam akaun CIMB Bank atas Abdul Raziq Roslan dan akaun CIMB Bank atas nama Wong Chee Kheong,” jelasnya.

Kata Gani, suspek kemudiannya memberitahu ‘kes’ mangsa diselesaikan dan berjanji mengembalikan wang berkenaan pada 16 November, namun jaminan terbabit adalah helah semata-mata.

Di Miri, Gani memberitahu pihaknya menerima laporan Parcel Scam dari tukang cuci berusia 41 tahun yang rudi RM2,000.

“Mangsa menerima pesanan ringkas dari nombor telefon 447452307776 dan 971582421358 yang mendakwa Yorkshire Bank, United Kingdom memasukkan wang tunai RM53,852 ke akaun Bank Islam anak perempuan mangsa dan dalam gambar dinyatakan pengirim ialah Mark William.

“Mangsa bertanya mengapa ‘pihak bank’ memasukkan wang tersebut ke dalam akaun anaknya dan suspek memberitahu wang terbabit adalah hadiah,” katanya.

Tambah Gani, bagi membuat pengeluaran wang tunai tersebut, mangsa diminta membuat bayaran RM2,950 dan kerana terpedaya mangsa membuat pemindahan wang di Public Bank Pelita Commerical sebanyak RM2,000 ke akaun Public Bank atas nama Julina Juliet anak Jiwel.

Katanya, apabila mangsa memaklumkan telah membuat bayaran, lelaki tidak dikenali itu meminta mangsa memasukkan wang tunai RM5,000 lagi sebelum mangsa merasakan dirinya sudah tertipu. –Sarawakvoice