KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Rizal Mansor akan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara, kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, kedua-dua mereka akan dituduh berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak pada jam 2.30 petang esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Rosmah telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12.00 tengah hari tadi bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM telah menahan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung siasatan kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada jam 3.25 petang, juga di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Tengku Adnan akan dituduh bersama-sama seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tarikh dan waktu yang sama esok, setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara. –Sarawakvoice