SIBU: Penduduk Sibu hari gempar apabila dua bot ekspres yang berlabuh di Terminal Penumpang Sibu, di Jalan Khoo Peng Long di sini terbakar pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.40 pagi dan sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS segera diatur gerak ke lokasi dengan kekuatan sembilan anggota, dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu.

“Setiba di lokasi, kedua-dua bot telah terbakar dan tali pengikat kedua-duanya telah dilepaskan.

“Bot pertama musnah seratus peratus manakala bot kedua musnah 10 peratus, iaitu pada bahagian enjin.

Katanya, pekerja yang berada di terminal telah bertindak pantas dengan mengalih dan menunda kedua-dua bot terbabit ke kawasan selamat bagi mengelakkan api merebak.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, malah pasukan kita hanya bersiap siaga di tepi terminal untuk mengelakkan sebarang kemungkinan,” tambahnya lagi.

Punca kebakaran jelasnya masih dalam siasatan. –Sarawakvoice