KUCHING: ‘Penangan’ hubungan abang angkat menyebabkan seorang suri rumah berusia 19 tahun dari Bintulu menjadi mangsa terkini Parcel Scam di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa pada mulanya menerima pesanan khidmat ringkas (SMS) dari ejen IFS bernama Ivy.

“Ivy memberitahu mangsa yang barang kiriman abang angkatnya bernama Abert Wei dari Romania telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 November lalu.

“Menurut suspek, kotak barang tersebut mengandungi beg tangan, kasut, komputer riba dan mata wang asing yang terlebih muatan,” katanya menerusi kenyataan diterima di sini, semalam.

Tambah Gani, suspek memberitahu mangsa yang barangan terbabit terpaksa ditahan oleh pihak kastam kerana memerlukan sijil pengiktiran (declaration certificafe).

“Suspek mengarahkan mangsa untuk membayar duti kastam bagi melepaskan barangan terbabit.

“Mangsa dikehendaki membayar wang tunai RM2,000 oleh suspek dan terpedaya, mangsa mengikut arahan suspek apabila memasukkan jumlah berkenaan ke akaun Maybank atas nama Rohana binti Mohd Tahir,” jelasnya.

Kata Gani, mangsa sekali lagi membuat pembayaran kali kedua berjumlah RM2,000 ke akaun Maybank suspek atas nama Bangan ak Budit.

“Tidak terhenti di situ, mangsa sekali lagi menerima mesej dari ‘polis’ Kuala Lumpur memberitahu mangsa dikehendaki membayar RM1,000 dan sekiranya ingkar, mangsa akan ditangkap.

“Pengadu sedar dirinya ditipu dan membuat laporan polis selepas mengalami kerugian RM4,000,” ujarnya. –Sarawakvoice