Monday, June 27, 2022

Potensi besar Sungai Asap dalam sektor pertanian dan pengeluaran makanan di Sarawak – Uggah

Secara Rawak

KUCHING: Kawasan Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga berpotensi untuk menjadi hub pengeluaran makanan terbesar di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah, Agensi Pembangunan Tanah Tinggi dan kementerian dan agensi lain
sedar akan perkara ini dan akan bekerjasama rapat dengan masyarakat petani di kawasan ini untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi yang ada.

“Anda masih mempunyai tanah manakala masyarakat petaninya begitu berpengalaman dan rajin.

“Justeru menjadi hasrat kita untuk memperkenalkan kepada mereka akan program pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik agar mereka dapat menghasilkan pengeluaran yang lebih tinggi serta berkualiti tinggi.

“Ini akan membantu mereka menjana pendapatan yang lebih baik,” katanya kepada anggota delegasi Jawatankuasa Pembangunan dan Transformasi Pertanian Kawasan Belaga yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Kennedy Chukpai Ugon di pejabatnya di sini hari ini.

Jelas Uggah, kementeriannya boleh menyelaraskan kursus dan memberikan bantuan yang sesuai untuk ladang moden ini, selain membantu mereka yang berminat.

Beliau turut mencadangkan mereka menanam tembikai susu selain sayur-sayuran dan ladang sawit kecil-kecilan.

“Terdapat juga potensi besar dalam penanaman durian Musang King dan pengeluaran madu kelulut selain penternakan ikan dalam sangkar,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak akan membantu masyarakat petani ini dari aspek pemasaran.

Ini boleh dilakukan melalui pengwujudan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan pertanian di kawasan ini.

Potensi lain kawasan ini katanya, adalah untuk aktiviti pertanian padi dan lada.

Uggah menekankan bahawa adalah sangat penting untuk kawasan yang menempatkan 15 rumah panjang dan sekitar 2,000 keluarga ini mempunyai kepimpinan dan pasukan yang kuat untuk mengurus dan membimbing para petaninya.

Sementara itu, bagi Chukpai, usaha kerajaan sebelum ini yang membantu masyarat petani Penan di Lesong Laku untuk bertanam padi adalah amat dihargai.

Beliau berkata, kawasan seluas 170 hektar telah disediakan untuk tujuan itu.

“Sekarang petani Penan ada beras sepanjang tahun dan mereka juga boleh membekalkan kepada orang lain di kawasan Long Linau dan Long Ludam,” katanya.

Turut hadir Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru