Pemilihan parti yang paling bermasalah.

Itulah gambaran terbaik bagi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini.

Betapa tidak, bermacam-macam masalah timbul, daripada ahli dan pengundi hantu hinggalah penipuan, dan gejala samseng.

Buktinya, di Sarawak beberapa cabang berdepan masalah termasuk Lubok Antu, Petra Jaya, Lawas dan Julau.

Menjelang pemilihan Sabtu lalu, tiba-tiba meledak di dada media selepas cabang berkenaan melantun jumlah keahliannya – daripada 600 pada 23 Jun kepada 13,000 sehari kemudian sedangkan menurut statistik, Parlimen Julau mempunyai sekitar 25,000 pengundi.

Proses pemilihan PKR di Cabang Julau berlaku sedikit kekecohan berlaku Sabtu t apabila salah seorang calon yang bertanding bagi jawatan Timbalan Pengerusi Cabang Julau diarahkan keluar dewan selepas tercetus pertikaman lidah dengan petugas keselamatan parti.

Bagaimanapun, menurut laporan media, pertengkaran antara calon terbabit, Wong Hong Yu dengan petugas keselamatan yang didatangkan dari ibu pejabat PKR, berjaya ditenteramkan anggota polis yang berkawal di luar.

Sudah tentu ini membingungkan ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdapat 29 cabang PKR di seluruh Sarawak yang akan terbabit.

Bagi Sarawak, Azmin ternyata mendahuklui apabila memenangi 4,020 undi berbanding Rafizi 1,884 undi.

Bermaksud kelebihan yang diraih Azmin di Sarawak, tidak termasuk Julau ialah 2,136 undi.
Keputusan rasmi dikatakan, 24 cabang memihak kepada Azmin dan hanya empat memilih Rafizi.

Difahamkan disebabkan masalah penipuan di Julau, difahamkan pengundian semula akan diadakan Rabu ini.

Apa pun keputusan di Julau tidak akan mengubah nasib Rafizi.

Cabaran utama bagi PKR bukan sahaja di Sarawak, tetapi di seluruh negara adalah bagaimana untuk merapatkan kembali barisan.

Tidak dinafikan pemilihan kali ini mencetuskan banyak ketegangan, permusuhan dalaman antara dua puak, dan perpecahan.

Mereka perlu berpegang kepada peribahasa, biduk lalu kiambang bertaut. Tetapi mungkinkah itu berlaku?

Yang penting mana-mana pihak tidak harus menghukum pihak lain. Kini pun imej dan reputasi PKR sudah tercalar. PKR tidak tidak punya wibawa untuk bercakap tentang integriti dan ketelusan dalam pemilihan dan pilihan raya.

Sebab, pemilihan PKR sarat dengan masalah.