MUKAH: Selepas tiga hari hilang, mayat seorang remaja yang dikhuatiri lemas di Kampung Terus, Oya di sini berjaya ditemui orang awam sekitar dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berakta, mangsa ditemui sekitar jam 8.30 pagi selepas lebih satu jam operasi hari ketiga dilancarkan sekitar jam 7.30 pagi tadi.

“Pencarian pada awalnya melibatkan radius pencarian lima kilometer secara pencarian permukaan, termasuk menyusur kedua-dua tebing sungai.

Mayat Rabani Abdul Razak, 14 tahun kemudian telah diserahkan kepada pihak polis dan sebelum dihantar ke Hospital Dalat, di sini.

Susulan penemuan tersebut, keseluruhan operasi yang berlangsung tiga hari melibatkan lima anggota bomba, enam anggota polis, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam dan 11 anggota Rela serta penduduk kampung ditamatkan sekitar jam 8.50 pagi. –Sarawakvoice