KUCHING: Lagi Macau Scam jerat mangsa di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Supt. Mustafa Kama Gani Abdullah dalam kenyataannya berkata, pihak polis menerima tiga laporan sindiket Macau Scam dengan dua daripadanya berjaya memperdaya mangsa.

“Kes pertama melibatkan pensyarah lelaki dari Kuching yang berusia 30 tahun apabila mengalami kerugian RM49,758.

“Terdahulu, mangsa menerima panggilan dari seorang perempuan bertanya sekiranya mangsa ada menerima surat tuduhan saman,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Tambah Gani, suspek kemudiannya menyambungan panggilan telefon kepada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernama Rowen yang memaklumkan mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram.

Jelasnya, suspek meminta mangsa bekerjasama dengan pihak polis Bukit Aman yang kemudiannya talian disambungkan untuk “menerangkan” kes terbabit termasuk tindakan membekukan akaun mangsa.

“Oleh kerana mangsa panik dan takut ugutan pembekuan akaun bank, mangsa menuruti semua arahan suspek untuk membuat pemindahan wang ke akaun suspek secara online.

Menurut Gani, kes kedua pula berlaku di Bintulu melibatkan pengawal komunikasi wanita berusia 24 tahun yang mengalami kerugian RM19,500.

Kata Gani, mangsa menerima panggilan telefon dari nombor 011 6742385820 dengan lelaki memberitahu mangsa mempunyai perbicaraan di Mahkamah Melaka.

Beliau turut berkata, suspek memberitahu mangsa yang penangkapan akan dibuat terhadapnya dan perintah pembekuan aset dilakukan.

Katanya, panik dengan ugutan suspek, mangsa melakukan pemindahan wang ke dua akaun CIMB Bank atas nama Zairul Amyziey dan Muhammad Zarifi. –Sarawakvoice