KUCHING: Tujuh lagi mangsa terjatuh dalam perangkap Macau Scam dan Parcel Scam dalam kes terkini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata pihaknya menerima 12 laporan apabila enam daripadanya terpedaya dengan Macau Scam, manakala seorang lagi terjerat oleh Parcel Scam.

Tambahnya, lima lagi mangsa berjaya mengelak diri daripada menjadi mangsa kedua-dua sindiket terbabit.

Empat kejadian berlaku di Miri, dua di Sibu dan satu di Bandar raya Kuching.

“Modus operandi Macau Scam adalah seperti sebelum ini apabila mangsa dihubungi dan didakwa terlibat dengan tunggakan hutang, penggubahan wang haram, penyelewengan dana, pemalsuan wang, dadah dan sebagainya,” katanya.

Gambar hiasan

Mustafa dalam kenyataan medianya berkata, suspek menyamar sebagai pegawai polis dan bank, kakitangan mahkamah dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta lain-lain.

“Kejadian pertama melibatkan wanita yang bekerja sebagai pelayan restoran dari Miri apabila mengalami kerugian berjumlah RM22,200.

“Kejadian kedua pula melibatkan kerani wanita berusia 36 tahun dari Sibu yang mengalami kerugian RM21,600 selepas terpedaya dengan Macau Scam,” jelasnya.

Menurut Mustafa, kejadian ketiga juga berlaku di Miri yang melibatkan kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur berusia 28 tahun apabila mengalami kerugian RM7,000.

Mangsa seterusnya yang terpedaya dengan Macau Scam ialah pensyarah wanita berusia 32 tahun dari Sibu mengalami kerugian RM3,350.

“Mangsa kelima ialah seorang pesara wanita berusia 70 tahun dari Kuching yang mengalami kerugian sebanyak RM6,900,” katanya.

Menurut Mustafa mangsa Macau Scam terakhir ialah eksekutif pembangunan manusia berusia 27 tahun dari Miri yang mengalami kerugian RM3,760.

Sementara, kerani wanita berusia 24 tahun dari Miri terpedaya dengan sindiket Parcel Scam yang mengalami kerugian sebanyak RM4,500.

“Terdahulu, mangsa menerima pesanan ringkas dari wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Rosiati binti Majin dari talian 011-36919845 dan 014-3434458 apabila memberitahu wang yang dipindahkan ke akaun awam mangsa dari Eropah ke Malaysia ditahan oleh BNM.

Suspek dikatakan memperdaya mangsa agar membuat pembayaran bagi kelulusan wang ditahan itu. –Sarawakvoice