Tuesday, November 29, 2022

Pelancong Slovakia antara dua maut dalam nahas dua kenderaan

Secara Rawak

LIMBANG: Seorang pelancong warga Slovakia antara dua mangsa yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di KM 9 Jalan Kubong di sini hari ini.

Kemalangan kira-kira pukul 11.50 pagi itu mengakibatkan mangsa, Ivan Jaros, 71 dan seorang wanita tempatan, Annissa Saksriprapa Nantharat Sunan, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan sama turut mengakibatkan tiga lagi pelancong warga Slovakia yang berusia antara 61 hingga 64 tahun cedera parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, keempat-empat pelancong tersebut menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah pusat bandar ke Jalan Mendamit.

“Bagaimanapun, malang menimpa mereka apabila Toyota Hilux yang dipandu wanita tempatan secara tiba-tiba hilang kawalan.

“Keadaan itu menyebabkan kenderaan tersebut memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alexson menambah, pemandu lori yang berusia 27 tahun dari Sabah pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Limbang untuk dibedah siasat.

“Tiga mangsa lain yang cedera parah juga dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru