KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya menyifatkan lawatan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Sarawak pada Rabu sebagai “tidak wajar”.

Latheefa yang juga peguam PKR mengungkit kontroversi dikaitkan dengan Cabang PKR Julau itu.

Ini termasuk laporan berkaitan kenaikan mendadak keahlian cabang itu kepada daripada 603 kepada 13,000 ahli 27 Jun lalu dan berlaku siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu tersebut.

Difahamkan, anggota SPRM mengambil keterangan Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan mengambil beberapa dokumen berkaitan dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Julau minggu lalu bagi membantu siasatan.

Bahagian Julau kini mempunyai antara keahlian terbesar PKR di Sarawak yang membolehkannya menjadi “kuasa penentu” dalam pemilihan parti.

Latheefa menyebut, selain Sng disiasat SPRM, Sng secara terbuka menyokong kem calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.

Penyandang Naib Presiden PKR itu Rafizi bertarung sengit melawan penyandang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali merebut jawatan Timbalan Presiden.

Pengundian di Sarawak termasuk Cabang Julau berlangsung Sabtu ini.

Dalam kenyataan beliau, Latheefa menyifatkan lawatan tersebut “tidak wajar dan sangat dipersoalkan” dengan Wan Azizah yang juga Timbalan perdana Menteri itu dilihat bersama dengan Sng semasa lawatannya.

Menurutnya lawatan Wan Azizah didakwa melibatkan kedudukannya dan aset kerajaan, sementara Wan Azizah turut mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk jalan di Julau bersama-sama kehadiran Sng yang juga calon PKR bertanding jawatan parti di Julau.

Mengapa lawatan Wan Azizah mesti dibuat menjelang pemilihan PKR di Sarawak, tanya Latheefa dan menambah, mengapa ia tidak dibuat selepas pemilihan parti berlangsung. –Sarawakvoice