Saya tidak menyalahkan rakyat Malaysia jika mereka mempunyai tanggapan bahawa pertandingan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini berlaku seolah-olah di Julau sahaja.

PKR Sarawak ialah yang terakhir yang  akan mengadakan pemilihan parti menerusi pengundian e-voting

Julau tiba-tiba meledak di dada media selepas cabang berkenaan mendadak jumlah keahliannya – daripada 600 pada 23 Jun kepada 13,000  sehari kemudian sedangkan menurut statistik Julau mempunyai 35,000- penduduk.

Jadi hampir setengah daripada penduduk ialah ahli PKR.

Bukankah ini sesuatu yang luar biasa. Tidak hairanlah, satu puak dalam PKR berpendirian bahawa ada sesuatu yang tidak kena di Julau.

Julau yang pada pilihan raya umum 9 Mei lalu menyaksikan calon penyandang Parti Rakyat Sarawak (PRS)  Datuk Joseph Salang Gandum kecundang, menjadi perhatian seluruh negara menjelang pemilihan dalam PKR Sabtu ini.

Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Kedit pada Khamis lalu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan.

Siasatan itu  bertujuan untuk menentukan sama ada wujud penyelewengan berhubung status keanggotaan PKR Cabang Julau.

Beliau  ke Pejabat SPRM Sarawak diiringi Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How, Setiausaha PKR Sarawak Nicholas Bawin dan beberapa pemimpin PKR negeri.

“Imej dan kewibawaan parti kami kini menjadi perhatian orang ramai kerana SD (akuan bersumpah) saya sudah tular dan isi kandungannya kini diketahui umum,” katanya seperti dipetik media.

Kedit kemudiannya menyerahkan SD beliau itu kepada SPRM untuk membantu siasatan itu. SD bertarikh 17 Okt itu, membangkitkan syak wasangka berhubung kewujudan anggota palsu di Cabang Julau, yang dikatakan akan mencemarkan pemilihan parti.

Persaingan  untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR semakin sengit.

Satu demi satu negeri telah mengadakan pemilihan, dengan kedua-dua calon saling memintas. Penyandang – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali – yang mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dicabar bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Sabah memihak kepada Azmin, yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang bergengsi dan punya perwatakan menarik.

Tidak banyak menyerang berbanding Rafizi yang kadangkala kelihatan celopar dan luar biasa lantang. Azmin pula mempamerkan watak tenang dan tidak menggelabah ketika diserang Rafizi.

Ya, dalam pemilihan PKR kali ini, pelbagai masalah timbul. Tuduh-menuduh berlaku, malah fitnah disebarkan. Ketegangan tidak dapati dielakkan, termasuk kejadian memalukan di beberapa tempat.

Rafizi didakwa diserang ketika proses pemilihan Cabang Keningau di dalam dewan Kampung Merampong, petang Sabtu lalu.

Polis  kini sedang berusaha merakamkan percakapan beberapa saksi kejadian didakwa diserang. Susulan kejadian itu, Rafizi membuat laporan polis.

Benarkah pola pengundian di Julau akan menentukan siapa yang bakal menduduki kerusi Timbalan Presiden?

Ya, dari satu segi memang ada kebenarannya. Sebab, Julau kini punya 13,000 ahli – satu angka yang cukup besar berbanding sekitar 54,000 yang bakal mengundi di Sarawak pada Sabtu ini.

Kita jangan terlalu naif untuk mengatakan bahawa kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau pada Selasa adalah tanpa agenda dan motif politik.

Kita perlu tahu setiap kenyataan dan tindak-tanduk pemimpin politik – punya perhitungan tertentu, dari segi tujuan dan kesannya.

Ahli Parlimen Julau Larry Sng yang menewaskan Joseph Salang atas tiket calon Bebas, tetapi kemudiannya menyertai PKR selepas kemenangan – menyokong Rafizi.

Rafizi ialah penyokong kuat  Datuk Seri Anwar Ibrahim – suami Wan Azizah.  Keluarga berkenaan rapat dengan Rafizi.

Sudah terang lagi bersuluh, kita tahu apa tujuan sebenar Wan Azizah ke Julau. Jadi, siapa kata lawatan ke Julau Wan Azizah tidak punya agenda politik?

Apatah lagi, beliau mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk membina jalan raya di kawasan terbabit, yang bakal memberi manfaat kepada 200 penduduk rumah panjang.

Pada Rabu pula, Azmin berkunjung ke Sarawak, berjumpa Ketua Menteri, sebaik kembali daripada lawatan ke Jepun, mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika keletihan kerana penerbangan dari negara Matahari Terbit itu belum lagi reda.

Tentu, ada sebab mengapa bekas Menteri Besar Selangor yang juga anak emas Dr Mahathir itu, segera terbang ke Sarawak. Sebab, dia tahu, Sarawak menentukan sama beliau kekal di jawatan Timbalan Presiden PKR.

Sementara itu,  Ahli Parlimen Julau menafikan tuduhan banyak pihak, bahawa kunjungan Timbalan Perdana Menteri ke kawasannya tidak wajar.

Katanya, lawatan itu ialah lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri.

Pada Selasa, Wan Azizah  menerima taklimat tentang pembangunan di Julau dan juga daripada Lembaga Lada Hitam Malaysia.

Kemudian, beliau melawat Rumah Rengayan Anak Ngumbang di Nanga Ruyak, sebelum menghadiri majlis makan malam di  RH Hotel, Sibu.

Kata Sng, Azmin sendiri dan seorang lagi menteri Zuraida Kamaruddin turut mengadakan lawatan ke Sarawak sejak kebelakangan ini.

Jadi, apa salahnya Wan Azizah mengadakan lawatan? Persoalannya, mengapa Julau, dan bukannya Kapit, Belaga, atau Baram?

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya mengkritik tindakan Wan Azizah melawat Julau.

Mana prinsip ketelusan dan integriti yang diuar-uarkan oleh PKR, yang berjanji untuk mengadakan pemilihan yang bersih?

Sng menjelaskan, lawatan ‘bossnya’ itu tidak ada kaitan dengan pemilihan.

Pengkritik, katanya, sepatutnya bangga, kerana Wan Azizah membantu membangunkan luar bandar Sarawak. Maka, katanya, kunjungan beliau tidak harus dipolitikkan.

Namun,  Latheeefa – yang tentunya berada di puak Azmin, dikatakan menegaskan pengumuman RM100,000 itu adalah tidak wajar.

Benarkah RM100,000 bukan untuk melembutkan hati pengundi dalam pemilihan Sabtu ini?

Majoriti Azmin kini ialah 1,467 undi. Azmin meraih 59,195 undi, manakala Rafizi 55,583 undi.

Sesungguhnya, satu persaingan yang amat sengit dan penuh debaran.

Siapa yang punya peluang lebih cerah?

Azmin yang punya hubungan lama dengan pemimpin di peringkat akar umbi, dipercayai punya kelebihan.

Beliau lebih popular di negeri ini meskipun Rafizi aktif berkempen di Sarawak beberapa minggu lalu. Berbanding Rafizi yang popular di media sosial, Azmin dikatakan punya cengkaman di akar umbi.

Menurut sumber parti, beliau seorang penyelesai masalah termasuk berkaitan agihan kerusi dan hubungan dengan parti komponen lain di negeri ini, iaitu Amanah dan DAP.

Lagipun, pendukung kuat beliau, Zuraida popular dan banyak sokongan di Sarawak.

Tetapi beberapa kenyataan Azmin berkaitan janji Pakatan Harapan terutamanya mengenai kadar royalti minyak kepada Sarawak adalah berdasarkan keuntungan menjadi beban kepada beliau.

Juga, jumlah peruntukan yang mengecewakan di bawah kepemimpinan kerajaan PH dalam Bajet 2019 untuk negeri ini.

Sesiapa pun yang menang, hanya akan menang dengan majoriti kecil. Tetapi episod yang menanti selepas keputusan diketahui, tentu bakal membawa kesan besar dan mendalam kepada PKR.

Bagaimana dengan nasib Azmin dalam kabinet selepas Anwar jadi Perdana Menteri, diandaikan Azmin kalah?

Adakah PKR akan berdepan konflik dan perpecahan selepas ini? –Sarawakvoice