KUCHING: Setiap sekolah usang memerlukan kos berbeza untuk dibaik pulih atau dibina semula.

Ini kerana ia perlu mengambil kira kemudahan diperlukan sesebuah sekolah tersebut dan bukan sekadar mengambil kira jumlah pelajar.

Mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peruntukan bagi satu blok sekolah bernilai RM10 juta,
Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee berkata, Azmin lebih memahami cadangannya itu.

Manakala, merespons pada kenyataan Ahli Parlimen Dap Kota Sentosa Chong Chieng Jen yang mempersoalkan kos pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan Bintulu dan SK Maludam Betong mencecah kos sekitar RM88.2 juta – Annuar berkata sekolah berkenaan mempunyai keperluan berbeza dari segi fasiliti.

“Sekolah ini (SK Ulu Segan di Bintulu) terletak dalam kawasan yang setiap tahun dilanda banjir… jadi (ia) terpaksa berpindah ke kawasan lain,” kata Annuar dan menjelaskan sekolah tersebut mempunyai asrama dengan jumlah pelajar 200 pelajar.

Bercakap di Bilik Media DUN hari ini, menurut Annuar sekolah ini bukan setakat memerlukan bilik darjah, tetapi juga perlu dilengkapi dua blok asrama lelaki dan perempuan serta dewan makan.

Manakala, sesetengah sekolah tidak memerlukan kemudahan yang sama seperti ini jadi kos pembinaannya lebih murah.

Beliau memberi contoh jika sekolah A berharga RM40 juta, tidak semestinya sekolah B juga bernilai RM40 juta kerana faktor pengangkutan, struktur sumber dan keperluan untuk masa depan perlu diambil kira.

Annuar yang juga ADUN Nangka berkata, berkaitan kontrak dan perkembangan sekolah, ia terletak bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan bukannya Kerajaan Negeri.

“Beliau (Chong) adalah timbalan menteri, jadi beliau perlu lebih bertanggungjawab apabila bertanya soalan,” tegas Annuar.

Sebelum ini, Chong yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak mencabar Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin dan Dr Annuar agar mendedah spesifikasi penuh cadangan projek bina semula SK Ulu Segan dan SK Maludam.
Chong berkata RM40 juta untuk membina semula SK Ulu Segan di lokasi baharu dan RM48.2 juta juga untuk membina semula SK Meludam, Betong di lokasi baharu adalah kos luar biasa. –Sarawakvoice