Pada tahun 2017 semasa sedang terlibat dengan mesyuarat Guru Kaunseling sekolah rendah di Bintulu, saya dihubungi oleh seorang wanita. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Puan Hajijah atau Kak Jah.

Saya meminta Kak Jah menelefon saya semula dalam pukul 5.00 petang kerana mesyuarat dijangka tamat pada puku. 4.30 petang.

Setelah habis mesyuarat saya terus pergi ke SK Agama (MIS) Bintulu untuk mengambil anak saya yang menghadiri kelas Kafa. Sesampainya saya di SK Agama (MIS) Bintulu, Kak Jah kembali menelefon saya.

“Assalamualaikum Ustaz Malik.”

“Waalaikumsalam Kak Jah. Kak Jah apa khabar? Ada apa-apa yang saya boleh bantu ke Kak Jah?”

“Begini ustaz. Saya nak mintak tolong ustaz datang ke rumah malam ni. Nak tengok-tengokkan anak perempuan saya.

Gambar hiasan

“Kalau malam ni tak dapatlah Kak Jah sebab kami ada buat rawatan kat Bangunan Martabat. Insyaallah kalau malam esok mungkin boleh Kak Jah.”

“Kalau macam tu boleh jugak ustaz. Tapi sebelum tu kalau boleh Kak Jah nak jumpa ustaz dulu malam ni? Nak bincang-bincang dulu. Lepas tu malam esok ustaz datang ke rumah Kak Jah lepas solat isya.”

“Siapa jugak yang ada kat rumah Kak Jah?

“Kami tiga beranak je ustaz. Kak Jah, anak Kak Jah Si Ana dan yang bongsu namanya Lin. Ana ni kerja di jabatan kerajaan. Si Lin ni pula masih belajar di tahun satu. Suami Kak Jah outstation.”

“Ooo..Macam tu. Insyaallah boleh kak. Malam ni dalam pukul 8.00 malam kakak datang. Kita boleh cerita-cerita dulu sebelum kami mulakan rawatan.”

“Ok. Insyaallah ustaz. Pukul 8.00 kakak datang ok. Terima kasih ustaz.”

“Sama-sama kak.”

Pada malam tersebut, selepas solat Isya saya pergi ke Bangunan Martabat. Lebih kurang pukul 7.50 malam.

Sesampainya di sana saya lihat ada sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih sedang mengunggu di tempat parkir kereta. Kemudian saya keluar dari kereta dan membuka pintu Bangunan Martabat.

Kelihatan ada seorang perempuan yang agak lebih tua dari saya keluar dari kereta Vios tadi dan datang ke arah saya sambil tersenyum.

“Assalamualaikum. Saya Kak Jah. Saya nak jumpa dengan Ustaz Malik.”

“Waalaikum salam. Saya Ustaz Malik. Ni Kak Jah ke yang telefon saya petang tadi?”

“Haah..” Jawab Kak Jah pendek sambil melihat penampilan saya dari atas ke bawah. Mungkin Kak Jah tidak percaya yang saya adalah Ustaz Malik.

“Bukan Ustaz Malik tu yang botak-botak ke yang kerja kat Jabatan Agama Islam Bintulu (JAIS)?”

“Owh..Itu abang saya Kak Jah. Saya kerja cikgu sekolah rendah je.”

Kak Jah cuma mengangguk-ngangguk sambil mukanya agak sedikit kecewa. Pada pendapat saya mungkin Kak Jah telah menghubungi orang yang salah. Mungkin awalnya Kak Jah nak berurusan dengan Ustaz Amir. Tapi saya biarkan saja.

Mungkin kerana penampilan saya pada ketika itu. Berseluar jeans biru lusuh dan menggunakan baju kumpulan ‘Slipknot’. Baju ini masih lagi saya gunakan hingga sekarang.

“Insyaallah nanti Ustaz Amir akan datang Kak Jah. Tapi agak lewat sedikit.” Jelas saya untuk menghiburkan sedikit rasa kekecewaan di hati Kak Jah.

“Jemput masuk Kak Jah. Kak Jah sorang je ke?”

“Takdelah ustaz. Ada anak Kak Jah datang sekali. Suami Kak Jah takde. Outstation. Seminggu takde kat Bintulu. Suami Kak Jah kirim salam kat ustaz. Dia minta maaf sebab tak dapat nak datang.”

“Waalaikumsalam. Takpe Kah Jah. Takde masalah tu.”

Saya melihat di bahagian belakang kereta Kak Jah. Ada dua orang perempuan. Seorang mungkin di dalam lingkungan usia 20an.

Mungkin dialah Si Ana dan seorang lagi di dalam lingkungan 7-8 tahun sudah tentulah Si Ain berdasarkan perbualan telefon saya bersama Kak Jah petang tadi.

DIGANGGU SUARA MISTERI

“Silakan masuk Kak Jah.”

Saya mempelawa Kak Jah masuk sambil membuka suis lampu. Kak Jah mengangguk dan mematikan enjen kereta. Kemudian Kak Jah membuka pintu kereta sebelah belakang tempat duduk pemandu dan menarik lembut tangan anaknya Si Lin tadi keluar dari kereta. Tangan Lin saya lihat sedang memegang kertas lukisan dan kotak pensel warna.

Seorang lagi anak Kak Jah, Si Ana juga keluar dari kereta dan mengikuti kami dari belakang. Kami berjalan hingga sampai ke bilik rawatan kami yang terletak di hujung sekali di tingkat bawah. Setelah membuka lampu dan kipas, saya mepersilakan Kak Jah masuk ke dalam.

“Silakan duduk Kak Jah. Duduklah kat mana-mana Kak Jah selesa.”

Kak Jah tersenyum dan duduk di belakang tidak jauh dari pintu masuk. Saya meminta izin kepada Kak Jah untuk menyusun bantal, selimut dan sebagainya untuk persediaan sebelum kami memulakan rawatan nanti.

Kak Jah saya perhatikan seorang yang sangat-sangat menyayangi anaknya. Sabar melayan kerenah Lin. Lin, anak Kak Jah yang bongsu asyik melukis dan mewarna.

Kadang-kadang menganggu kakaknya Si Ana. Sekali-sakala Lin memandang ibunya dan kemudian meneruskan aktiviti melukis dan mewarna.

Sementara anak Kak Jah, Si Ana agak sedikit marah ketika saya melihat reaksi wajahnya. Mungkin Si Ana inilah yang dimaksudkan oleh Kak Jah tadi yang menurut saya mempunyai masalah sehingga Kak Jah berusaha untuk membawa anaknya berubat.

“Ustaz, mana tandas kat sini?” Si Lin ni ha nak ke tandas.”

“Ada depan pintu masuk bangunan ni tadi kak. Sebelah kanan.”

“Terima kasih ustaz. Kak Jah ke tandas dulu.”

“Baiklah kak.”

Kemudian Kak Jah membawa anaknya Lin pergi ke tandas. Manakala Ana pula menunggu di dalam bilik rawatan.

Sementara menunggu Kak Jah dan Lin selesai urusan di tandas, saya mengemas beberapa barang-barang lama yang diserahkan oleh pesakit-pesakit untuk dibakar.

Ketika saya sedang memeriksa barang tersebut, tiba-tiba saya terdengar nama saya seperti dipanggil oleh Kak Jah dari arah pintu masuk.

“Malik…Malik..”

“Iya kak.”

Saya perhatikan dan diam seketika. Tiada orang di pintu masuk. Si Ana juga memandang ke arah pintu masuk. Mungkin Ana juga perasan seseorang memanggil nama saya.

Saya pergi ke arah pintu masuk dan cuba mencari siapakah yang memanggil-manggil nama saya. Mungkin kawa-kawan saya bergurau agaknya. Saya perhatikan langsung tiada orang ketika itu. Ana cuma memerhatikan tingkah laku saya.

“Kamu dengar tak tadi Ana? Ada orang panggil nama ustazkan?”

Ana cuma tersenyum memandang saya tanpa ada rasa takut. Mungkin Ana ini seorang yang berani fikir saya di dalam hati. Masakan tidak. Kalau orang lain saya rasa sudah tentu akan ketakutan.

“Macam tulah Ana. Ada makhluk lain yang tinggal dan berkongsi alam dengan kita. Cuma mereka tidak nampak. Terserah kita sejauh mana kita percaya tentang alam ghaib menurut syariat Islam.” Jelas saya kepada Ana.

“Ya ustaz. Mereka hidup di tengah-tengah kita. Memerhati tingkah laku kita setiap saat. Hahaha..”

Saya menjadi seram sejuk mendengar penjelasan Ana. Putaran kipas menambah lagi kedinginan yang tiba-tiba menyerap ke dalam tubuh badan saya.

Saya rasakan seolah-olah ketika itu saya sedang diperhatikan oleh sesuatu dari arah yang saya sendiri tidak tahu.

“Patutlah Kak Jah nak bawa Ana ni berubat. Mungkin dialah yang ada masalah. Kalau tak takkan Kak Jah nak bawa Si Ana ni berubat.”

Bisik saya di dalam hati. Si Ana tadi terus-menerus memandang saya dengan senyuman hinggakan saya mula merasa tidak selesa.

Tidak lama kemudian Kak Jah dan Lin sampai ke bilik rawatan kami. Kak Jah memimpin tangan Lin dan mereka duduk di samping Ana.

Ana mula menampakkan wajah yang kurang senang. Menurut saya mungkin ana tidak mahu berubat dan merasakan yang dia tidak sakit.

“Minta maaf ustaz sebab lama menunggu. Lama juga menunggu Si Lin di dalam tandas tadi.”

“Takpelah kak. Takdelah lama. Sementara menunggu Kak Jah tadi tadi saya sempat nak kemas bilik kami yang agak berselerak ni tadi.”

Selepas itu saya duduk bersama dengan Kak Jah, Ana dan Lin. Saya atur kedudukan saya dalam keadaan bersila sambil duduk di hadapan Kak Jah.

“Ok Kak Jah. Ada apa-apa ke yang saya boleh tolong ni Kak Jah?” Tanya saya.

Kak Jah diam seketika sambil memandang wajah Lin yang tengah sibuk melukis. Kemudian Lin menganggu Kak Jah yang hendak bercerita kepada saya tentang permasalahan anaknya.

Ternyata Kak Jah agak rimas dengan tindakan Lin tetapi masih lagi melayan karenah Lin dengan sabar.

Saya tersenyum sambil memandang Lin lalu mengeluarkan pertanyaan kepada Lin. Lin ketika itu sedang melukis pemandangan sebuah rumah.

“Pandai Lin lukis. Ustaz suka tengok lukisan Lin.”

Lin memandang saya dan kelihatan teruja dengan pujian yang saya lemparkan kepadanya.

“Oklah Lin. Lin lukis dulu apa yang Lin nak lukis ok. Nanti ustaz bagi gula-gula sebagai hadiah ok.”

Kebetulan saya ada membawa sebungkus besar gula-gula di dalam bekas plastik pemberian dari bekas pesakit kepada kami sebelum ini.

Lin kelihatan sangat gembira dan mula melukis dalam keadaan tertiarap. Untuk seketika Lin tidak menganggu Kak Jah. Jadi inilah peluang untuk Kak Jah bercerita dengan lebih tenang kepada saya tanpa sebarang gangguan.

BERMAIN BERSAMA KAKAK

“Begini ustaz. Kak Jah nak mintak tolong ustaz tengok-tengoklah si Lin ni. Lin ni Kak Jah tengok selalu bercakap sorang-sorang, main sorang-sorang dan kadang-kadang di rumah Lin suka bersembunyi di bilik kosong dalam rumah kami.”

“Rumah kami setingkat je ustaz. Ade empat bilik tapi bilik tempat Lin selalu bermain ni terletak di hujung sekali sebelum dapur. Bilik tu memang kosong ustaz. Takde orang.“

“Owh..Si Lin ni yang Kak Jah nak bawak berubat.”

Tekaan saya salah. Saya ingatkan yang Si Ana yang ingin dibawa berubat oleh Kak Jah. Tapi ternyata Si Lin.

“Pernah sekali tu suami Kak Jah marah kat Lin sebab Lin hilang di dalam rumah kami. Puas kami cari Lin pada malam tu. Kat bilik kami takde, kat bilik Lin takde, kat bilik Ana kakak Si Lin ni pun takde dan kat bilik kosong tu pun takde.”

“Kami cari balik kat semua bilik, tandas, halaman rumah hingga suami Kak Jah panjat kat atas loteng rumahpun takde jugak.”

“Lepas tu suami Kak Jah ambil keputusan nak telefon polis. Nak buat laporan anak kami hilang. Kebetulan handphone suami Kak Jah tertinggal di bilik Lin masa tengah cari Lin tadi. Lalu Kak Jah dan suami pergi balik ke bilik Lin untuk ambil handphone.”

“Alangkah terkejutnya Kak Jah dan suami Kak Jah bila kami melihat kaki Lin ada di bawah katil. Apabila suami Kak Jah memandang ke bawah katil ternyata Si Lin ni tengah ketawa dan bercakap sendirian.”

“Mungkin kerana hilang sabar suami Kak Jah marah kat Lin dan memukul punggung Lin menggunakan tangan. Lin menangis dan memeluk Kak Jah. Kak Jah cuma mampu memujuk Lin sahaja ketika itu.”

Saya mendengar penuh minat permasalahan yang dialami oleh keluarga Kak Jah.

“Lepas tu Kak Jah. Apa yang berlaku.”

“Kak Jah ada bertanya kepada Lin malam tu..”

“Lin main dengan siapa? Kenapa Lin sembunyi masa ayah dan mak cari?”

“Lin main dengan kakak. Kami nampak mak dan ayah cari Lin. Lin kat atas katil je tapi kakak tu berdiri di hadapan Lin. Tu yang mak dan ayah tak nampak Lin.”

“Kakak? Macamana rupa kakak tu?”

“Rambut panjang. Gigi dan kukunya tajam. Lidahnya panjang. Kakak suka sangat ketawa. Muka kakak tu pucat dan suka terbang dalam bilik. Kakak tu setiap malam datang ke rumah.”

“Dia tinggal di hutan seberang rumah kita. Masa ayah dan mak cari Lin kakak tak suruh jawab. Kakak kata nanti ada masa nak bawa Lin tinggal dengan kakak di dalam rumah lama dalam dalam hutan tu.”

Rumah Kak Jah dan suaminya terletak di kawasan rumah taman di antara Medan Jaya ke Time Square Megamall. Terletak di antara jalan tersebut. Dulu rumah batu lama itu dan hutan belukar kecil tersebut masih ada di celah-celah pembangunan bandar Bintulu.

Beberapa hari yang lepas saya lihat hutan kecil itu sudah tiada lagi akibat dari pembangunan. Hutan kecil digantikan dengna hutan ‘konkrit.’

“Masa tengah malam lepas ayah, mak dan Kak Ana tidur, kakak akan datang ke rumah kita dan masuk melalui tingkap. Lin tak bukak tingkap tu. Tapi kakak terbang dan terus masuk ke dalam bilik Lin mak.”

“Kakak suka main sembunyi-sembunyi dengan Lin. Lin kat atas katil dan kakak kat bawah katil. Kakak selalu usik Lin pakai kuku kakak. Kakak cucuk-cucuk dan cakar-cakar belakang Lin masa Lin baring. Kadang-kadang kakak tidur di sebelah Lin. Tapi masa Lin bangun kakak dah takda.”

Saya diam sahaja memerhatikan apa yang disampaikan oleh Kak Jah kepada saya berkenaan dengan perbualan Kak Jah dengan Lin pada suatu ketika bila mana Lin hilang dulu.

Begitu juga Kah Jah dan Ana. Diam sahaja sambil melihat Lin mewarna lukisannya yang hampir siap. Ana yang memandang saya sambil tersenyum. Saya membalas senyuman Ana. Senyuman Ana dalam nada menyindir rasanya.

Mungkin disebabkan suara yang kami dengar awal-awal tadi. Ana kadang-kadang menoleh pandangannya ke arah pintu tadi. Malu juga diperhatikan seperti itu. Masakan tidak. Mungkin Ana tahu yang saya ni sedikit penakut.

LAKARAN LUKISAN LIN

“Mak, lukisan Lin dan siap. Ustaz, nak mintak gula-gula.” Jerit Lin dengan nada gembira sambil menyerahkan kertas lukisannya kepada Kak Jah.

Saya melayan sahaja celoteh Si Lin. Ternyata Lin ini sangat petah bercakap dan mesra walaupun suka menyendiri.

Saya tersenyum memerhati gelagat Lin sambil mengeluarkan beberapa biji gula-gula dari bekas plastik di hadapan saya dan meyerahkannya kepada Lin.

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena Kak Jah menjerit ketakutan.

“Allahu Akbar. Lin, apa yang kamu lukiskan ni?”

“Kawan Lin mak. Yang Pandai terbang tu.”

“Kat Mana kawan Lin sekarang.” Tanya saya kepada Lin.

“Tu. Kat sebelah mak tu. Dia tengah letakkan muka dan dagunya kat bahu mak. Dia tengah tersenyum tengok mak sekarang.”

Saya lihat Kak Jah mengggigil ketakutan. Kemudian saya minta Kak Jah untuk mengawal diri dan beristighfar banyak-banyak.

“Istighfar Kak Jah. Takde apa-apa tu. Tu cuma imaginasi Lin saja tu.” Jelas saya semata-mata untuk menguatkan semangat Kak Jah.

Kemudian saya ambil lukisan tersebut dari tangan Kak Jah. Mungkin inilah apa yang Lin jelaskan kepada Kak Jah dulu.

Di dalam lukisan Lin terlihat seorang perempuan yang menyeramkan. Mukanya hodoh. Matanya besar kemerahan dan hampir tersembur keluar. Gigi taringnya tajam dan kukunya juga tajam dan panjang.

Untuk kepastian saya bertanya sekali lagi kepada Lin.

“Lin, mana kawan Lin sekarang?”

“Tu. Tengah letakkan mukanya ke kat bahu mak.”

Saya juga cuba mengawal perasaan dan keadaan sekeliling. Risau juga kalau Kak Jah semakin takut. Kemudian saya menoleh ke arah Kak Jah untuk bertanyakan beberapa soalan.

Ketika saya memandang ke arah Kak Jah tadi tiba-tiba saya lihat Ana sedang meletakkan muka dan dagunya di bahu Kak Jah.

Saya terkejut dan hampir-hampir saya bersembunyi di belakang Lin. Saya kuatkan semangat kerana ketika itu saya tahu Allah sentiasa ada bersama saya dan memerhati serta melindungi saya.

Saya kemudiannya beristighfar dan bertakbir.

“Astaghfirullahal azhim..Allahu Akbar..Allahu Akbar..”

Saya kembali memerhatikan Ana. Kenapa Ana bertindak seperti itu. Saya tiada jawapan. Kemudian Ana memandang saya dan tersenyum. Selepas itu Ana duduk bersandar kembali sambil menggeliat. Saya perhatikan sahaja tingkah laku Ana.

Ana kemudiaannya berdiri dan berjalan ke pintu masuk lalu duduk di kerusi yang kami sediakan di luar pintu masuk. Ana memerhatikan beberapa orang pesakit yang mula datang ke pusat rawatan kami.

Saya mengalih pandangan saya lalu memandang ke arah Lin.
Selepas itu sekali lagi saya dan Kak Jah terkejut apabila handphone Kak Jah yang Kak Jah letak di atas lantai tiba-tiba berdering sambil mengeluarkan lagu ‘Janji ManisMu’ dari Aisyah.

“Hati membeku mengingatkan kata janji manismu..Oh,
Ku dilambung angan-angan belaian kasih sayang suci darimu..
Oh kejamnya..

Ya. Suasana betul-betul kejam ketika itu.

Kak Jah segera menjawab telefonnya dengan ‘mode’ loudspeaker.

“Assalamalaikum Mak.”

“Waalaikum salam.”

“Mak kat mana? Dah jumpa Ustaz Malik? Mak dah balik belum?”

“Kat Bangunan Martabat sekarang. Tengah cerita-cerita dengan Ustaz Malik ni ha. Mak belum balik lagi. Kenapa?

“Takde pape mak. Tak apalah. Ingatkan mak dah balik tadi. Sebab tadi terdengar macam suara mak dan Lin je yang bagi salam kat luar sambil ketuk-ketuk pintu. Bila Ana buka pintu Ana tengok takde orang. Seram sejuk je rasanya mak.”

“Baiklah. Hati-hati. Lepas jumpa dengan ustaz nanti mak akan balik terus ok. Jangan lupa kunci balik pintu nanti.”

“Baiklah mak. Assalamalaikum.”

“Waalaikum salam.”

Kak Jah segera mematikan handphonenya. Terbit kerisauan yang mendalam pada wajah Kak Jah.

“Siapa yang ‘call’ Kak Jah tadi.”

“Owh..Anak Kah Jah yang sorang lagi. Si Ana. Dia tinggal kat rumah. Petang tadi balik kerja lewat. Jadi tak sempat nak ikut.”

“Maksud Kak Jah anak Kak Jah Si Ana tu tinggal kat rumah ke? Bukan ke Ana datang skali dengan Kak Jah tadi?”

“Takdalah ustaz. Ana tak ikut. Kak Jah dengan Si Lin je yang datang.”

Saya terus menoleh ke luar tempat ‘Ana’ tadi duduk tadi.

Ternyata ‘Ana’ tiada di situ.

“Pelik..”

“Betul ke Ana tak ikut Kak Jah sekali tadi.”

“Tak ada ustaz. Kenapa ustaz? Risau Kak Jah ustaz tanya Kak Jah macam tu.”

PULANG DITEMANI ANA

Saya ketawa kecil. Untuk menghilang suasana yang menakutkan. Sambil saya terus memikirkan siapa yang bersama saya tadi.

Yang sama-sama mendengar orang memberi salam, yang menemani saya berbual tentang alam ghaib, yang mengusik saya dengan senyuman. Saya mula risau.

Ternyata masa Kak Jah pergi ke tandas bersama Lin tadi ternyata saya sedang ditemani oleh seseorang. Kenapa saya boleh tidak perasan.

Kemudian saya mengalih pandangan saya kepada Lin yang sedang membuka bungkus plastik gula-gula yang saya beri tadi.

“Lin, betul ke Lin nampak kakak tadi?

“Betul ustaz. Tadi kakak tu bersandar kat Mak. Lepas tu duduk kat luar. Lepas tu terbang.” Jelas Lin dengan potongan ayat satu-persatu.

Lin kemudianya melakar sesuatu di dalam kertas lukisan. Semua itu tidak menarik minat saya. Fikiran saya masih tertumpu kepada ‘Ana’ yang sering memerhatikan saya dari tadi.

“Macam nilah Kak Jah. Saya rasa Si Lin ni ada benda yang ikut dia ke rumah atau ke mana saja Lin pergi Kak Jah.”

“Ustaz boleh tolong tak halau benda ni keluar?”

Kak Jah saya lihat sangat risau dan memandang saya dengan penuh pengharapan.

“Insyaallah Kak Jah. Kak Jah jangan risau. Nanti kami akan cuba bantu Kak Jah. Cuma yang penting kat sini Kak Jah buat solat sunat. Kemudian minta pertolongan dengan Allah.

Untuk sementara ni Kak Jah bacakan banyak-banyak Surah Al Baqarah kat rumah ok sementara menunggu kami datang pada malam esok. Ingat Kak Jah. Allah sebaik-baik Penolong. Saya cuma berusaha sahaja.”

“Baiklah ustaz. Kak Jah balik dulu. Risau pula dengan Si Ana sorang-sorang kat rumah. Esok ustaz jangan lupa datang rumah. Lepas isya.”

“Insyaallah Kak Jah. No problem.”

Selepas itu saya menghantar Kak Jah ke muka pintu masuk Bangunan Martabat. Saya perhatikan sahaja Kak Jah menekan ‘remote’ kereta dan membuka keretanya sambil memimpin tangan Lin masuk ke dalam kereta.

Semasa di dalam kereta, Lin memandang ke arah suatu tempat duduk di bahagian belakang. Ternyata perempuan yang menyerupai Ana tadi sudah ada di belakang.

Bila masa perempuan itu masuk sayapun tidak pasti. Yang pastinya dialah yang merenung saya, dialah yang berbicara kepada saya, dialah yang tersenyum memandang saya, dialah yang menyindir saya dan dialah yang melafazkan kata-kata yang akan saya ingat sampai sekarang.

“Ya ustaz. Mereka hidup di tengah-tengah kita. Memerhati tingkah laku kita setiap saat. Hahaha..”

Saya kembali istighfar sambil memerhatikan terus kereta Kak Jah meninggalkan saya dan persoalan ini dengan penuh tanda tanya.

Kemudian saya membaca Surah Al Fatihah, Surah Kursiy dan tiga Qul (Al Ikhlas, Al Falaq dan An Naas) bagi mengelakkan jiwa saya dari terus diganggu oleh syaitan.

DISAMBUT PENGHUNI RUMAH

Keesokkan malamnya selepas solat isya, saya melakukan solat sunat dua rakaat untuk memohon perlindungan kepada Allah dan memohon supaya Allah memudahkan urusan saya dan keluarga Kak Jah.

Semasa keluaar dari pintu dan mengunci rumah, saya mulakan dengan lafaz basmallah iaitu;

“Bismillahir rahmaanir rahiim.”

Kemudian diikuti dengan doa dari sebuah hadis seperti berikut;

Dari Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Jika seseorang keluar dari rumahnya lalu membaca (zikir): Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah”

“(Dengan nama Allah, aku berserah diri kepadaNya dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolonganNya).”

Maka malaikat akan berkata kepadanya: “(Sungguh) kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah Ta’ala), dicukupkan (dalam segala keperluanmu) dan dijaga (dari semua keburukan)”, sehingga syaitan-syaitanpun tidak dapat mendekatinya dan syaitan yang lain berkata kepada temannya: Bagaimana (mungkin) kamu dapat (mencelakakan) seorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga (oleh Allah Ta’ala)?”

[HR Abu Dawud (no. 5095), At Tirmidzi (no. 3426) dan Ibnu Hibban (no. 822), dinyatakan shahih oleh imam at Tirmidzi, Ibnu Hibban dan syaikh al-Albani]

Selepas itu saya membaca zikir Al Ma’tsurat sehinggalah saya sampai ke rumah Kak Jah.

Setelah mencari rumah Kak Jah berdasarkan alamat yang diberi, akhirnya sampai di pagar rumah Kak Jah. Saya perhatikan pagar rumah Kak Jah terbuka. Mungkin Kak Jah yang membukanya awal-awal bagi memudahkan saya masuk ke perkarangan rumah.

Saya lihat tiada kereta di halaman rumah. Mungkin mereka keluar sekejap untuk membeli barang fikir saya. Rumah Kak Jah agak gelap. Cuma lampu di tingkat atas sahaja yang terbuka.

Saya memberi salam.

“Assalamualaikum..Assalamualaikum..”

Tiada jawapan dari Kak Jah atau anak-anaknya.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam ustaz. Hahaha..”

Saya terkejut dan menoleh ke belakang. Ternyata Ana menjawab salam saya.

“Allah..Ana. Bila masa Ana ada kat belakang ustaz? Tanya saya.

“Tadi dah. Dari masa mula-mula ustaz sampai.”

“Terkejut ustaz. Nasib baik ustaz tak melatah.” Ujar saya sambil mengurut-ngurut dada lalu menarik nafas dalam-dalam.”

Saya memerhati wajah Ana dalam-dalam.

“Kenapa ustaz tengok Ana macam tu. Macam tengok hantu je.”

“Takde Ana. Ustaz nak kepastian je. Hahaha..”

“Jom masuk ustaz. Mak tengah tunggu.”

Saya mula rasa tak sedap hati. Macam ada sesuatu yang pelik berlaku. Tetapi saya gagahi juga untuk masuk.

Kemudian saya bacakan Surah Ali Imran: 26-27)

“Qulillahumma malikal mulki tu’til mulka man tasyau wa tanzi’ul mulka mimman tasyau, wa tu’izzu man tasyau wa tudzillu man tasyau, biyadikal khayru innaka ‘ala kulli syay-in qadir.”

“Tulijul layla fin nahari wa tulijun nahara fil layli, wa tukhrijul hayya minal mayyiti wa tukhrijul mayyita minal hayyi wa tarzuqu man tasyau bighayri hisab.”

Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau beri rezki siapa yang Engkau kehendaki tanpa perhitungan (batas).”

(Ali-Imran: 26-27).

Selepas habis bacaan ayat dari Surah Ali Imran tadi tiba-tiba handphone saya berdering. Intro dari lagu ‘Children Of Bodom’ dari Kumpulan ‘Children Of Bodom’. Biasanya saya gunakan juga intro muzik lagu ini sebagai ‘alarm’ untuk mengejutkan saya untuk solat subuh.

Saya memerhatikan handphone saya. Pada ‘screen’ tersebut saya lihat terpapar nama Kak Jah. Kemudian saya jawab panggilan dari Kak Jah.

“Assalamualaikum Kak Jah.”

“Waalaikumsalam ustaz. Ustaz kat mana sekarang?”

“Kat depan rumah Kak Jah ni ha. Nak masuk rumah dah.”

Kemudian saya memandang ke bawah untuk membetulkan lipatan seluar jeans saya supaya nampak lebih kemas dan beradab bila masuk bertamu ke rumah orang.

“Ustaz, Kak Jah kat luar rumah ni. Tengah tunggu ustaz. Takde pun nampak kereta ustaz.”

“Allah..”

Itu sahaja yang mampu untuk saya ucapkan.

Saya matikan panggilan handphone. Saya terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Kak Jah. Saya dongakkan kepala dan memandang ke arah sekeliling saya.

Ketika itulah saya sangat-sangat terkejut dan menyebut nama Allah seberapa banyak yang termampu dilafazkan oleh mulut saya.

Ternyata di hadapan saya ada sebuah rumah kosong dua tingkat dan dikelilingi oleh hutan belukar kecil. Kedengaran bunyi kereta lalu lalang berdekatan di kawasan sekitar saya berdiri.

Kelibat Ana sudah tiada di hadapan mata saya. Saya perhatikan rumah kosong tersebut. Sepertinya ada seorang perempuan yang memerhati saya dari tingkat atas. Mungkin inilah rumah yang diceritakan oleh Lin kepada Kak Jah dan suaminya.

Baru saya perasan. Patutlah masa saya turun dari kereta saya lihat rumah tersebut adalah dua tingkat dan lampu di tingkat atas terbuka. Sedangkan Kak Jah ada memberitahu saya yang rumah mereka cuma satu tingkat sahaja.

Rasa seram dan takut mula menusuk ke dalam jiwa saya. Bayangkan jika kita tiba-tiba berada dalam sebuah hutan dan di hadapan kita ada sebuah rumah banglo dua tingkat yang tidak berpenghuni sambil diperhatikan oleh seseorang dari tingkat atas. Seram, sunyi, suram.

Dan di sekitar kita cuma ada pokok-pokok yang rendang. Belukar yang tinggi menjulang. Maka ketika itulah iman kita betul-betul diuji oleh Allah.

Tanpa melengahkan masa, saya memberanikan diri dan masuk semula ke dalam kereta. Dengan berpandukan laluan jalan lama yang rosak teruk, berlubang dan dipenuhi dengan rumput-rumput serta daun-daun yang berguguran, saya memecut kereta saya keluar dengan sepenuh hati.

Alhamdulillah..Dalam masa lima saat sahaja saya telah sampai di tepi jalan besar. Saya hentikan kereta dan membuka tingkap kereta dan membenarkan angin masuk.

Terasa nyaman dan tenang apabila angin dingin menyentuh kulit muka saya. Saya berhenti seketika dan melafazkan rasa syukur saya kepada Allah.

“Alhamdulillah Ya Allah..Alhamdulillah..Alhamdulillahi rabbil ‘alamin..”

Saya menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya secara perlahan-lahan. Setelah beberapa ketika, saya cuba untuk mengawal perasaan dan menyandar badan ke belakang kerusi.

Apa yang saya alami tadi benar-benar tidak dapat saya terjemahkan dengan menggunakan logik akal.

Sebab itulah apabila saya dan rakan-rakan bertemu dengan pengalaman yang pelik dan menakutkan, kami lebih banyak berdiam diri sahaja. Kerana tidak semua orang percaya dengan apa yang kami alami.

Tetapi semua ini adalah ujian dari Allah kepada kami dan sebagai tanda kasih sayang dari Allah dan pengalaman yang Allah curahkan yang Allah tidak beri kepada orang lain. Alhamdulillah Ya Allah.

SAMPAI KE RUMAH KAK JAH

Selepas keadaan kembali tenang, saya cuba untuk menghubungi Kak Jah. Kak Jah terus menjawab panggilan saya.

“Assalamualaikum ustaz. Ustaz kat mana sekarang? Kak Jah masih kat luar rumah ni tunggu ustaz datang.”

“Waalaikumsalam Kak Jah. Hahaha..Saya salah masuk rumah orang tadi.”

“Owh..OK. Takpelah ustaz. Saya tunggu.”

“Ok Kak Jah. Dalam masa lima minit lagi saya sampai.”

Saya teruskan perjalanan saya dan lebih kurang 50 meter di hadapan saya terpaksa membuat ‘u-turn’ dahulu. Kemudian dalam lebih kurang satu minit perjalanan dari simpang ‘u-turn’ tadi saya masuk ke simpang sebelah kiri.

Saya tercari-cari rumah Kak Jah berdasarkan alamat yang diberi. Tetapi kali ini dengan lebih berhati-hati sambil mulut tidak berhenti-henti melafazkan takbir iaitu Allahu Akbar berulang kali. Agar tidak terperangkap dan dipermainkan sekali lagi oleh syaitan.

Akhirnya setelah beberapa ketika saya telah sampai juga di luar rumah Kak Jah. Saya perhatikan kelibat Kak Jah dari kejauhan. Saya sempat berdoa kepada Allah agar peristiwa tadi tidak berulang lagi.

Saya matikan enjin lalu turun dari kereta. Saya perhatikan keadaan sekeliling. Di luar rumah Kak Jah ada dua buah kereta. Kereta Vios putih dan Ford Ranger berwarna hitam.

“Assalamualaikum Kak Jah. Minta maaf sebab terlewat.”

“Waalaikumsalam ustaz. Kak Jah ingatkan ustaz salah alamat tadi.”

“Insyaallah. Memang salah masuk rumah orang kak. Tapi ok je tadi. Senang je nak cari rumah Kak Jah.”

“Kenapa ustaz matikan handphone tadi?”

“Owh. Handphone saya habis bateri kak. Tak sempat nak ‘charge’ tadi.”

“Patutlah. Risau juga Kak Jah tadi. Jomlah masuk ustaz.”

“Jom Kak Jah.”

Saya terpaksa merahsiakan peristiwa yang berlaku tadi. Supaya Kak Jah tidak takut dan risau. Semasa hendak masuk ke dalam rumah Kak Jah, saya sempat menjeling ke dalam kereta Toyota Vios putih Kak Jah. Manalah tau perempuan malam tu masih belum keluar-keluar kereta lagi.

“Jom masuk ustaz. Mintak maaf rumah bersepah.”

“Takdelah bersepah kak.”

Sewaktu melangkah ke dalam rumah Kak Jah, saya lihat Ana dan Lin sedang duduk di atas lantai di ruang tamu. Ana sedang memerhatikan handphonenya dan Lin pula agak tekun melukis.

Saya perhatikan Ana dengan khusyuk. Mungkin inilah Ana yang sebenarnya. Mukanya lebih cerah dan kemerah-merahan.

Berbeza dengan ‘Ana’ yang sebelum ini. Yang bercerita, tersenyum dan memerhatikan saya dengan perasaan yang meyeramkan. Dengan muka yang pucat seperti mayat.

“Ada apa-apa yang perlu saya sediakan ustaz?”

“Tak ada apa-apa kak. Insyaallah lepas ni saya akan bacakan beberapa ayat Al Quran kepada Lin.” Jelas saya.

Kak Jah mengangguk-ngangguk tanda faham. Kemudian Kak Jah memanggil Lin yang masih lagi melukis.

“Jom sayang. Duduk dekat Mak. Ustaz nak bacakan Al Quran kat Lin.”

“Lin tak naklah Mak. Nanti kakak marah kat Lin.”

“Mana ada kakak tu Lin. Kakak Lin tu Kak Ana je tau. Tu je kakak Lin.” Jelas Mak Jah sambil menarik lembut tangan Lin. Lin kelihatan begitu manja sekali bersama Kak Jah.

Ana kemudiaannya duduk di sebelah Kak Jah. Tersenyum sambil mencubit-cubit pipi gebu Lin. Saya tahu yang Ana pun risau juga melihat keadaan Lin. Sambil-sambil tu Ana memerhatikan bilik hujung di kawasan dapur.

LIN DAN KAKAK

“Mana kakak Lin yang sorang lagi.” Tanya saya.

“Tu ada dalam bilik. Tengah marah. Tadi kakak main-main kuku. Tajam kuku kakak mak. Tadi kakak kata nak bunuh mak. Kakak nak keluarkan isi perut mak.”

“Astaghfirullah..Adoi ustaz. Macamana ni. Benda tu ada kat bilik Lin. Matilah Kak Jah ustaz.”

“Kak Jah jangan risau. Biasanya kes seperti Lin ini, syaitan yang menganggu tu ada di dalam badan Lin. Itupun kalau ada. Semua ni tipu daya syaitan untuk menganggu jiwa kita Kak Jah. Memang kerja syaitan macam tu.”

Kemudian saya bacakan sebuat ayat dari Al Quran;

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا

“Orang-orang yang beriman mereka berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang jalan taghut, maka perangilah kawan-kawan syaitan itu, (kerana) sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (An Nisa: 76)

Kemudian Mak Jah menajdi sedikit tenang. Tidak risau dan menggelabah seperti tadi.

“Macamana ustaz tau?”

“Biasanya kita boleh lihat dengan cara Lin memandang benda tu. Kalau imaginasi sahaja, Lin akan memandang benda tu dengan membayangkan bagaimana rupa makhluk tu. Bukan dengan cara melihat betul-betul.”

“Lagipun pandangan orang yang berimaginasi ini, pandangan matanya mudah bergerak-gerak dan sesekali berubah penjelasannya berkenaan dengan apa yang dilihatnya itu.”

Kemudian saya teruskan lagi.

“Berbeza dengan kes Lin ni Kak Jah. Kalau syaitan ni ada dalam badan Lin, syaitan ini akan menampakkan pada pandangan mata Lin seolah-olah kakak tu tadi benar-benar ada di dalam bilik, di bawah katil dan sebagainya. Kalau Kak Jah perhatikan, apabila Lin menjelaskan yang Lin sedang melihat kakak.”

Pandangan matanya tertumpu pada suatu tempat itu sahaja seolah-ola sedang melihat suatu ojek. Tanpa ada penambahan cerita dan apa yang disampaikannya mengenai kakak tersebut adalah konsisten.”

“Jadi kakak yang Lin nampak sebenarnya tidak adalah di dalam rumah ini?”

“Kalau menurut pendapat saya bukan tidak ada, tetapi syaitan ini sebenarnya sudah ada di dalam badan Lin.”

“Astaghfirullahal ‘azhim..Ustaz tolong buang syaitan kat dalam badan Lin ustaz. Kak Jah betul mengharap pada ustaz.”

“Ya Allah Kak Jah. Jangan mintak kat saya. Kak Jah mintak terus kat Allah. Kan Allah sebaik-baik menolong. Mungkin inilah sebabnya gangguan pada Lin ni berterusan. Kebergantungan Kak Jah kepada Allah sangat kurang.”

Kali ini saya agak ‘keras’ sedikit dengan Kak Jah. Bukan tujuannya untuk marah kepada Kak Jah. Tetapi supaya Kak Jah sedar akan kesilapannya dalam memahami konsep ‘meminta kepada siapa’.

Kak Jah kemudian seperti tersentak. Bukan kerana tindakan saya tetapi kerana apa yang disampaikan oleh saya kepadanya.

“Mintak maaf ustaz. Kak Jah silap. Kakak terlalu takut dan risau.”

“Tak apa Kak Jah. Insyaallah saya akan tolong. Sambil-sambil tu kita berdoa kepada Allah supaya Allah menghilangkan gangguan ini.”

“Iya ustaz. Insyaallah.”

Saya minta Lin untuk duduk di hadapan saya. Kemudian saya mulakan dengan membaca ayat-ayat ruqyah yang khusus untuk kanak-kanak. Ruqyah untuk kanak-kanak ini sebaik-baiknya menggunakan ayat-ayat yang lebih ringan.

Kerana apa. Syaitan apabila merasuk dan menggunakan badan pesakit, kekuatan orang yang dirasuk itu akan menjadi lebih kuat dari kebiasaan.

Syaitan akan menggunakan tenaganya dan menggunakan tenaga pesakit untuk mengamuk. Kadang-kadang pesakit yang histeria akan cuba dikawal pergerakannya dan ditahan sehingga belasan orang. Sebab itulah selepas sedar pesakit akan merasa sangat-sangat penat dan mengantuk.

Jadi kalau berlaku histeria pada anak kecil, cara megatasinya adalah berbeza dengan kes orang dewasa. Perlu sabar dan jangan terlalu keras. Kalau kita silap dalam bertindak, anak kecil tersebut boleh meninggal dunia.

Syaitan ketika berada di dalam badan manusia akan bergerak melalui pembuluh darah pesakit. Dalam sebuah hadis ada menyentuh perkara tersebut;

Dari Shofiyah binti Huyay, ia berkata,

“Pernah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam sedang beri’tikaf, lalu aku mendatangi beliau. Aku mengunjunginya di malam hari. Aku pun bercakap-cakap dengannya. Kemudian aku ingin pulang dan beliau berdiri lalu mengantarku. Kala itu rumah Shofiyah di tempat Usamah bin Zaid. Tiba-tiba ada dua orang Anshar lewat.”

“Ketika keduanya melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, mereka mempercepat langkah kakinya. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam lantas mengatakan, “Pelan-pelanlah, sesungguhnya wanita itu adalah Shofiyah binti Huyay.”

“Keduanya berkata, “Subhanallah, wahai Rasulullah.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya setan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah. Aku khawatir sekiranya setan itu menyusupkan kejelekan dalam hati kalian berdua.”

(Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 3281 dan Muslim no. 2175).

Selepas itu saya mulakan dengan membaca Surah Al Fatihah, lima ayat pertama dari Surah Al Baqarah, Surah Kursiy, dua ayat terakhir dari Surah Al Baqarah, Surah As Shofaat: 1-7, tiga Qul dan beberapa doa dari hadis Rasulullah.

Semasa saya bacakan ayat-ayat tersebut saya perhatikan Lin mula tidak selesa, bertindak membaling apa sahaja barang di hadapannya. Tiba-tiba Lin berdiri.

Saya perhatikan sahaja pergerakan Lin. Kemudian Lin memanjat meja tamu di hadapan kami dan mencangkung. Seolah-olah sedang duduk di atas sebatang pohon.

Lin kemudiannya menyanyikan beberapa buah lagu yang saya tidak faham butir isinya. Cuma ada satu lagu yang saya rasakan dalam Bahasa jawa. Berdasarkan lengok Bahasa dan iramanya.

Suara Lin bergema di seluruh ruang tamu. Kemudian Lin seperti menyisir-nyisir dan bermain dengan rambutnya.

ILHAM DAN PETUNJUK DARI ALLAH

Di bilik belakang sekali terdengar seperti bunyi ketukan yang kuat, suara permpuan merayu, menangis, ketawa, mengilai dan dan bernyanyi.

Saya teruskan bacaan saya tanpa memperdulikan apa yang berlaku di sekeliling. Kak Jah dan Ana berpelukan satu sama lain.

Kemudian apa yang saya perhatikan suasana bilik seperti berubah. Seperti di dalam sebuah hutan. Dikelilingi pohon-pohon rendang. Dahan dan ranting menyentuh ke bumi, daun-daun berguguran dengan banyaknya dan akar-akar mula timbul dari perut bumi.

Saya cuma mampu berdoa kepada Allah untuk melindungi saya dan keluarga saya serta Kak Jah dan anak-anaknya. Saya memohon kepada Allah agar apa yang tiba-tiba wujud dalam pandangan mata kami ini adalah petunjuk dari Allah untuk kami.

Dalam keadaan yang samar-samar dari kejauhan terdengar seperti bunyi azan. Langit saya lihat berwarna kemerahan bercampur hitam. Saya rasa ketika itu suasana seperti ketika masuk waktu maghrib. Yang mana syaitan mula keluar.

Selepas selesai bunyi azan dari kejauhan, saya perhatikan ada sesuatu di antara pohon-pohon tersebut. Ada seorang perempuan yang sedang duduk di dahan pohon.

Tingginya sekitar tinggi pohon kelapa dewasa. Bernyanyi-nyanyi sambil sesekali terbang rendah memerhatikan manusia yang lalu lalang ketika itu.

Dalam banyak-banyak kereta yang lalu lalang di kawasan tersebut, tiba-tiba ada sebuah kereta yang berhenti betul-betul di sekitar kawasan perempuan itu duduk di dahan pokok. Saya kenal orang di dalam kereta itu. Kak Jah, suaminya dan Lin.

Kak Jah keluar dari kereta dan membuka bonet di bahagian belakang. Mengambil air botol. Kemudian masuk balik ke dalam kereta. Ketika itu Kak Jah dan suami tidak perasan yang Lin sedang memerhatikan perempuan itu di atas pokok.

Perempuan itu juga memerhatikan pergerakan Lin dan mula terpesona dengan Lin. Mungkin untuk dijadikan kawan.

“Mak. Ada perempuan duduk di atas pokok tu.”

“Huish..Mana ada orang kat situ. Mak baru je keluar tengok.”

“Tu bukan orang tu Lin. Tu beruk. Hahaha..” Sambung suami Kak Jah sambil ketawa.

Tidak lama kemudian kereta merekapun bergerak semula. Lin tetap memerhatikan perempuan itu. Dengan tidak semena-mena, perempuan itupun terbang dan mengikuti mereka balik ke rumah.

Semasa sampai di rumah, Kak Jah dan suaminya terlupa untuk memberi salam dan membaca ayat perlindungan sebelum masuk ke rumah kerana ingin cepat-cepat mendirikan solat maghrib.

Maka bermula dari situlah perempuan itu tadi mula tinggal di dalam rumah mereka dan menjadi sahabat kepada Lin.
Kemudian suasana bertukar kembali secara perlahan-lahan.

Hutan, pokok, perempuan tadi dan suasana suram dan gelap mula hilang. Ruang tamu rumah Kak Jah mula kembali seperti biasa.

Dalam hati saya tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada Allah atas apa yang berlaku. Tidak semua orang percaya kalau saya ceritakan kembali kepada mereka.

Saya cuma simpan untuk saya jadikan kenangan yang tidak dapat saya lupakan sepanjang hidup saya.

Saya hentikan sementara bacaan Al Quran saya dan meminta Kak Jah dan Ana membaca Surah Kursiy sebanyak yang mungkin.

Seingat saya mungkin mereka tidak melihat apa yang berlaku sebentar tadi. Kerana mereka lebih banyak memerhati gelagat Lin sahaja. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Lin yang tadi cuma duduk mencangkung tiba-tiba mula bertindak agresif. Mula-mula ketawa. Kemudian menjerit. Kemudian ketawa semula. Selepas itu Lin melompat dari meja dan berdiri di hadapan kami.

Lin seolah-olah hendak menerkam saya. Dari posisi duduk bersila saya tukar kepada kedudukan duduk sambil lutut kanan saya angkat ke atas dan rapatkan ke dada.

Tidak berapa lama kemudian Lin melompat dan menerkam saya. Mungkin kerana saya dalam keadaan sudah bersedia, saya sempat mengelak dan berundur sedikit ke belakang. Lin menjadi semakin marah.

Lin pada mulanya menyerang saya kini mula mencari mangsa baru. Lin memandang Kak Jah seperti singa kelaparan.

Kak Jah tidak perasan bahawa Lin akan menyerang Kak Jah kerana Kak Jah lebih kerap menutup mula dan memandang ke bahagian lain. Mungkin takut melihat gelagat Lin ketika itu.

Tidak lama selepas itu Lin mula menerkam Mak Jah. Akibat terlalu takut Kak Jah tiba-tiba pengsan. Lin mula mencakar-cakar muka dan baju Kak Jah.

Saya segera berlari ke arah Lin sambil mencapai lapis meja tamu dan segera menahan kedua belah tangan Lin.

Ana yang sedang pasrah dan ketakutan memerhati sahaja apa yang berlaku. Saya memanggil Ana untuk membantu saya. Saya cuba untuk menahan kedua tangan Lin sekuat hati saya sambil membaca Surah Haqqah: Ayat 30-32;

(Allah berfirman), “Peganglah dia, lalu belenggulah tangannya ke lehernya.” Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta. Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Mahabesar.

Ana kemudiannya bingkas bangun dan membantu saya. Saya meminta Ana untuk mengunci pergerakan Lin dengan cara melilit lapis meja tamu tadi di badan Lin.

Saya teruskan bacaan Surah Al Haqqah tadi sebanyak yang mungkin. Akhirnya Lin lemah terkulai layu. Saya minta Ana baringkan Lin dan kejutkan ibunya, Kak Jah dari dari pengsannya sambil membaca Surah Kursiy.

BERDIALOG DENGAN ‘KAKAK LIN’

Lin terus memandang saya dengan pandangan yang menyeramkan. Nyanyian lagu jawa tadi mula bermain di bibir Lin. Walaupun agak perlahan.

Tiba-tiba Kak Jah terbangun dari pengsannya dan duduk sambil mengesat-ngesat matanya. Hampir-hampir saja saya melompat kerana terkejut dengan tindakan spontan Kak Jah tadi.

Apabila Lin melihat Kak Jah mula tersedar dari pengsannya, Lin kembali menjerit dan menyanyi dengan lebih kuat lagi sambil jarinya menunjuk tepat ke arah muka Kak Jah.

Nyanyian Lin semakin seram. Kak Jah yang baru sahaja tersedar kembali terkejut dengan tindakan Lin. Dengan tidak semena-mena Kak Jah kembali pengsan.

“Adoi..bangun Kak Jah.”

Dalam suasana seperti ini ada seram dan ada lawaknya. Tersenyum saya melihat gelagat Kak Jah pada ketika itu.

Kemudian saya meminta Ana untuk bacakan doa dari Rasulullah yang Ana hafal. Kemudian Ana bacakan doa;

“Allahumma ‘aafina fi badanina, Allahumma ‘aafina fi sam’ina, Allahumma ‘aafina fi basorina.“

Maksudnya: “Ya Allah sihatkanlah badan kami, Ya Allah sihatkanlah pendengaran kami, Ya Allah sihatkanlah penglihatan kami.”

Saya minta Ana ulangi bacaan doa tadi sambil mengusap wajah Kak Jah dan kemudian membaca doa;

“Bismillahilladzi la yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huwas sami’un alim.”

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan NamaNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Riwayat Abu Daud, At Tirmizi dan Ahmad)

Kak Jah kemudiannya tersedar dari pengsannya. Tetapi kali ini lebih segar dan bersedia. Saya terus memerhati Lin.

Nyanyiannya mula perlahan dan akhirnya terhenti. Lin memandang saya dengan pandangan yang menyeramkan. Kemudia saya mula berbicara;

“Ya ma’syaral jin (wahai golongan jin). Siapa kamu dan kenapa kamu ganggu Lin.”

“Aku tiada nama. Kenapa kamu ganggu aku? Aku tidak pernah manganggu kamu.”

“Kamu tidak menganggu aku tetapi kamu menganggu Lin.”

“Lin sudah lama menjadi kepunyaan aku. Aku sudah lama tinggal di badannya.”

“Kalau begitu aku minta kamu keluar dari badan Lin. Keluar tanpa syarat.”

“Aku tidak mahu keluar. Aku tetap tinggal di dalam badan Lin selamanya. Atau kalau aku keluar sekalipun aku akan merasuk kembali Lin dan membawa sekali jasadnya masuk ke alam kami dan Lin akan hilang untuk selama-lamanya.”

“Atau aku akan merasuk untuk merosak saraf di kepalanya sehingga dia menjadi gila. Jadi apa pilihan kamu manusia bodoh. Hahaha..”

Saya terkejut dengan apa yang dikatakan oleh syaitan yang berada di dalam badan Lin. Sungguh nekad syaitan yang menganggu Lin ini.

“Bila kali pertama kamu melihat dia? Tanya saya.

“Suatu petang apabila remang senja. Kereta mereka berhenti di hadapan rumah aku. Di dalam hutan. Tempat aku bermain buaian dan menyanyi. Ketika itulah aku melihat Lin dan Lin melihat aku. Selepas itu aku terbang bersama mengikuti mereka hingga sampai ke rumah.”

“Ketika ayah dan ibunya masuk, mereka terlupa untuk membaca ayat Al Quran sehingga mudah untuk aku masuk sekali dan tinggal bersama mereka. Setiap malam aku bermain dengan Lin.”

“Tetapi keluarganya tidak percaya. Jadi mudah untuk aku merosak kehidupan Lin supaya menjadi manusia yang tidak normal. Lin sebenarnya tidak melihat aku tetapi aku yang berada di dalam badan Lin untuk menampakkan pada pandangan mata Lin bahawa aku ada di hadapannya dan bermain dengannya.”

“Jadi, engkaulah yang menganggu aku semasa ibu Lin berjumpa dengan aku semalam?”

“Hahaha..Ya..Aku. ternyata engkau juga jadi mainan aku semalam.”

“Dasar syaitan. Engkau keluarlah dari badan Lin atau engkau akan aku bunuh dengan ayat-ayat Al Quran.”

“Aku tidak akan keluar atau Lin akan mati bersamaku.”

“Bukan engkau yang memegang nyawa Lin wahai syaitan.”
Lalu saya membaca Surah Al Ahqaaf: ayat 32

Maksudnya: “Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.”

Saya baca berulang-ulang kali ayat tersebut. Lebih kurang 30 kali lebih. Padamulanya syaitan di dalam badan Lin itu ketawa. Kemudian menangis dan kemudian kembali tertawa.

Kalau menurut pengalaman saya, kalau itulah yang berlaku maka syaitan itu mula menjadi lemah.

Saya teruskan bacaan. Lin kemudian menjerit dan merayu-rayu minta dihentikan bacaan Al Quran. Saya tidak hiraukan permintaan Lin kerana saya tahu syaitan itu banyak tipu dayanya. Sehinggalah kami tercium bau sesuatu yang terbakar.

Untuk seketika saya hentikan bacaan Al Quran sekejap. Saya minta Kak Jah dan Ana untuk pergi mancari arah bau terbakar tersebut.

Sambil itu saya teruskan bacaan saya. Sambil saya teruskan bacaan, saya perhatikan Kak Jah dan Ana mencari segenap ruang dan tiap corok sekitar dalam rumah.

Dari ruang tamu, tandas, dapur dan bilik mereka. Sampai di bilik paling hujung, ketika membuka pintu Kak Jah dan Ana terkejut kerana ada sedikit kesan terbakar pada lantainya.

Tetapi api telahpun padam. Cuma kelihatan sedikit kepulan asap yang akhirnya mula menghilang sedikit demi sedikit.

Saya perhatikan wajah Lin. Tidak pucat seperti sebelum ini. Kak Jah dan Ana kembali duduk di samping saya. Mereka jelaskan apa yang mereka lihat di dalam bilik tadi. Selepas itu pandangan kami tertumpu pada Lin.

Saya bacakan lagi beberapa ayat Al Quran untuk memastikan syaitan itu tiada lagi di dalam badan Lin. Tiada apa-apa reaksi dari Lin ketika itu. Selepas itu saya tumpukan perhatian saya pada dahi Lin.

Kelihatan peluh dingin. Mata Lin masih lagi tertutup tetapi berkelip-kelip dengan cepat. Selepas berpuas hati dengan keadaan Lin sayapun memandang Kak Jah.

Di luar rumah Kak Jah, di kawasan tingkap sebelah pintu, kelihatan seperti ada suatu lembaga yang menyerupai perempuan tetapi dalam bentuk seperti kabus. Bergerak mengelilingi rumah. Berhenti di kawasan tingkap tadi.

Kedengaran jua bunyi suara perempuan merintih kesedihan. Menusuk masuk ke dalam jiwa. Suara anjing melolong panjang betul-betul di hadapan rumah Kak Jah.

Akhirnya lembaga seperti kabus tadi serta suara merintih kesedihan mula kedengaran sayup-sayup dari kejauhan dan perlahan-lahan hilang dari pandangan dan pendengaran kami.

“Insyaallah dengan izin Allah syaitan itu dah keluar Kak Jah.”

KESAN TERBAKAR

Kak Jah menadah tangan sambil mengucapkan syukur kepada Allah. Diikuti oleh Ana. Rasa diperhatikan dari mula masuk ke rumah Kak Jah tadi telah hilang serta-merta.

Lin masih terbaring lemah sambil kelopak matanya bergerak-gerak. Kemudian saya letakkan kain lapis meja tadi ke kedua belah mata Lin sambil membacakan suatu doa dari hadis Rasulullah yang berbunyi;

“Allahumma rabbanas. Adz hibil ba’ sa. Isyfi antasy syafi. La syifaa’a illa syifa uka, syifa an la yughadiru saqaman.”

Maksudnya: “Ya Allah Tuhan Pemelihara manusia. Hilangkan penyakit, sembuhkanlah! Hanya Engkau yang dapat menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali dariMu, kesembuhan yang tidak meninggalkan satu penyakit pun.”

(HR. Bukhari dan Muslim)

Kemudian saya alihkan kain tersebut dan saya minta Kak Jah kejutkan Lin. Selepas itu Lin terjaga lalu memeluk Mak Jah. Ketiga-tiga anak beranak tersebut menangis terharu. Selepas itu saya minta mereka untuk sujud syukur kepada Allah.

Ketika Lin sedang memeluk Mak Jah, saya perhatikan baju yang digunakan oleh Lin pada bahagian belakang berwarna kehitaman dan ada kesan terbakar. Begitu juga tempat Lin terbaring tadi.

Kemudian saya meminta kepada Mak Jah dan Ana memeriksa seluruh badan Lin. Kak Jah dan Ana terkejut kerana ada beberapa kesan seperti melecur kecil di bahagian belakang badannya. Kemudian kesan tanda-tanda cakar yang agak panjang dan dalam.

Apa yang saya nampak ketika itu sukar untuk saya jelaskan kenapa. Jawapan saya adalah Allahu a’ lam. Cuma Allah sahaja mengetahuinya. Setelah keadaan reda saya pun bertanya kepada Lin.

“Mana kakak kamu Lin?”

“Tu Kak Ana ustaz.”

“Kakak Lin yang bermain dengan Lin dalam bilik tu mana. Yang suka terbang-terbang tu.”

“Siapa yang terbang ustaz?”

“Yang main setiap malam dengan Lin?”

Lin terdiam sambil memikirkan sesuatu.

“Lin lepas belajar tidur dalam bilik. Bangun masa mak kejutkan untuk mandi, solat subuh, sarapan. Lepas tu pergi sekolah.”

“Lin suka melukis perempuan tak sebelum ni?”

“Tak ustaz. Lin suka lukis bunga je. Sambil warna-warna.”

“Alhamdulillah. Kak Jah dan Ana dengar tak apa yang Lin jawab?”

Kak Jah dan Ana mengangguk.

“Kenapa ustaz Tanya soalam macam tu?” Tanya Kak Jah.

“Kalau itulah jawapan Lin maksudnya gangguan syaitan itu dah tak ada dah. Dan Lin pun tak tahu apa yang dah berlaku sebelum ini kepadanya.”

“Paham ustaz.”

“Alhamdulillah. Lepas ni cuba Kak Jah solat berjemaah bersama anak-anak, bacakan Al Quran bersama dan wujudkan kembali suasana Islami kat rumah. Juga amalkan adab sebelum masuk ke dalam rumah.”

Selepas itu saya memberi beberapa nasihat kepada Lin dan juga amalan-amalan yang perlu Lin lakukan untuk menggelakkan dari gangguan syaitan ini berulang lagi.

Selepas beberapa ketika saya minta izin untuk balik. Kak Jah tidak putus-putus nengucapkan terima kasih kepada saya sambil mengeluarkan air mata kesyukuran.

Saya minta Kak Jah untuk melafazkan syukur kepada Allah kerana Allahlah yang menurunkan ujian ini dan Allah jugalah yang menghilangkannya.

Sebelum balik ke rumah, saya cuba untuk melihat kawasan hutan saya tersesat awal-awal tadi. Sebahagian kecil kawasan tersebut terbakar termasuk sebatang pokok tua dari beberapa pohon-pohon kecil yang lain. Belukarnya juga terbakar.

Cuma kebakaran kecil ini langsung tidak menarik minat sesiapa yang memandangnya. Mungkin menurut mereka kebakaran ini berpunca dari perbuatan manusia.

Selepas itu saya singgah di MC Donald untuk makan. Kebetulan saya berjumpa dengan kawan-kawan saya yang kebetulan baru balik dari merawat pesakit di Sungai Plan Kidurong.

Kejadian yang menimpa Lin dan keluarganya kadang-kadang saya jadikan sebagai rujukan untuk kes-kes yang hampir sama. Cuma yang saya sesalkan ada ibu bapa yang tidak percaya tentang gangguan jin atau syaitan pada anak mereka.

Bagi mereka itu cuma imaginasi, khayalan, pembohongan anak mereka semata-mata. Ya. Betul. Saya juga sering berjumpa dengan kes seperti ini. Anak-anak keil yang terlebih imaginasi, berkhayal dan berbohong dengan apa yang mereka lihat.

Tetapi bagaimana dengan anak-anak yang benar diganggu oleh jin? Sampai sekarang saya teringat dan sangat-sangat menyesal bila teringat akan suatu kes dahulu. Kerana kebodohan dan kejahilan ayah dan ibunyalah anaknya telah hidup tersiksa dan menderita dan sekarang anaknya telahpun gila.

Saya cuma mampu untuk berdoa semoga Allah akan terus memelihara saya, keluarga saya dan anak ini tadi. Semoga Allah kurniakan rahmat dan kasih sayangNya dan semoga dia akan sembuh semula suatu hari nanti. Amin.

Kung Pow..

Artikel yang dipetik dari blog https://cikguemmet.com